Hadi Awang dalam keadaan stabil, minta penyokong jangan risau
KUALA TERENGGANU: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, 61, yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HZNZ) pagi tadi akibat serangan penyakit angin ahmar ringan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Anak sulung kepada anggota Parlimen Marang dan anggota Dewan Undangan Negeri Ru Rendang itu, Muhammad Khalil, berkata bapanya sedang berehat dan meminta para penyokong tidak risau dengan keadaan kesihatannya.
"Datuk Seri Tuan Guru (Abdul Hadi) dalam keadaan stabil dan pihak hospital meminta supaya beliau berehat buat seketika waktu sehinggalah beliau diizinkan untuk keluar hospital.
"Beliau juga berpesan supaya penyokong PAS jangan risau dengan keadaan kesihatannya kerana keadaannya stabil dan meminta semua ahli dan penyokong PAS supaya berdoa agar Allah s.w.t dapat menyembuh penyakitnya secepat mungkin supaya dapat terus berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HSNZ di sini hari ini.
Muhammad Khalil, 31, berkata bapanya diserang penyakit itu kira-kira pukul 5 pagi tadi, ketika bangun untuk bersahur bagi berpuasa sunat sebelum memberitahu anggota keluarga tentang perkara itu.
Beliau berkata bapanya dibawa HSNZ kira-kira pukul 7.30 pagi oleh anggota keluarganya.
Katanya doktor yang melakukan pemeriksaan terhadap kesihatan bapanya meminta beliau supaya lebih banyak berehat.
Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, walaupun ada menghidap penyakit darah tinggi, bapanya itu tidak menunjukkan tandatanda kurang sihat dalam tempoh beberapa hari lepas.
"Ini merupakan kali pertama beliau terkena serangan penyakit ini," katanya.
Sebelum itu, Muhammad Khalil turut menafikan laporan sebuah akhbar utama tempatan yang disiarkan secara online yang menyatakan Abdul Hadi terkena serangan penyakit jantung.
Antara kenamaan yang melawat Abdul Hadi di hospital ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mustafa Ali. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan