HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 April 2008

Sindiket antarabangsa disyaki jadikan KL pusat pengedaran dadah


NEW DELHI: Kastam India mengesyaki kumpulan pengedar dadah antarabangsa kini menjadikan Kuala Lumpur (KL) sebagai pangkalan bagi mengedar heroin ke pasaran di seluruh dunia, berikutan tertangkapnya dua pengedar dadah jenis itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Ghandi (IGI)baru-baru ini.

Rabu lepas, pegawai kastam di sini menahan seorang wanita Thai kerana cuba menyeludup heroin bernilai RM2.5 juta ke Kuala Lumpur ketika dia tergesa-gesa untuk menaiki pesawat yang akan berlepas ke Malaysia.

Selepas melakukan pemeriksaan, pegawai berkenaan menjumpai heroin seberat 2.48kg yang cuba disembunyikan di bahagian bawah beg pakaian yang dibawa oleh wanita berusia 26 tahun itu.

Penangkapan wanita ini dibuat beberapa minggu selepas Kastam New Delhi menahan seorang lelaki Filipina berusia 42 tahun yang disyaki cuba menyeludup 70 kapsul heroin bernilai RM800.00 ke Kuala Lumpur dengan menelan dadah itu.

"Tidak syak lagi, Kuala Lumpur semakin menjadi pilihan utama penyeludup dadah kerana ia mempunyai jaringan perhubungan yang baik. Heroin dari Afghanistan kini diseludup ke Asia Tenggara melalui Delhi dan dari Kuala Lumpur, bahan ini mudah diedar ke ibu negara lain," kata seorang pegawai kanan kastam Delhi kepada Bernama.

Beliau berkata dua suspek yang ditahan itu bekerja dengan rangkaian pengedaran dadah antarabangsa yang menyeludup heroin dari Afghanistan negara yang menghasilkan hampir 90 peratus bekalan heroin dunia.

"Ia merupakan rangkaian antarabangsa dan multinasional yang menjadikan New Delhi sebagai pusat transit mereka," katanya.

Semasa disoal siasat, wanita Thai itu mengaku bekerja dengan sebuah kartel dadah antarabangsa dan sudah tiga kali mengunjungi ibu negara India ini bagi tujuan menyeludup dadah, kata pegawai itu. BERNAMA

Tiada ulasan: