HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Mei 2008

Auku: Salahuddin kecewa dengan Menteri Pengajian Tinggi
Nyza Ayub


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) kecewa dengan jawapan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyatakan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti(Auku) hanya sumber kuasa untuk mengekalkan universiti.

"Apabila Yang Berhormat Menteri dilantik menjadi Menteri Pengajian Tinggi saya rasakan ada harapan untuk melihat warga universiti diberikan suatu nafas baru dan era baru, tetapi sebaliknya," katanya sewaktu mencelah jawapan Menteri Pengajian Tinggi bagi ucapan penggulungan perbahasan Titah di-Raja bagi kementerian tersebut.

Salahuddin dalam ucapannya juga membidas kenyataan Dato' Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) yang mendakwa kerana Auku semua Ahli Parlimen berada di Dewan Rakyat.

"Saya ingin menyatakan kerana keberanian kita melawan Auku kita berada di sini. Jika tiada Auku, Batu Pahat sudah lama jadi menteri," katanya sambil disahut ketawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Menurut Salahuddin, dalam sesi Parlimen yang lepas Menteri Pengajian Tinggi sewaktu itu memanggil wakil parti pembangkang untuk mengadakan satu perbincangan bagi semakan akta tersebut.

"Saya bersetuju satu semakan dibuat. Kami mahukan satu kebebasan autonomi universiti, pelajar diberikan gelanggang yang luas. Saya menyatakan Auku itu zalim kerana salah satu contoh adalah ketidakadilan dalam perjalanan pilihan raya kampus.

"Jika ada pelajar yang (disyakki) tidak prokerajaan dalam pilihan raya kampus, 'laptop' mereka dirampas dan ada yang digantung pengajian. Tindakan ini tidak betul dan bercanggah dengan suasana dan senario universiti kelas pertama," katanya yang diikuti dengan ketukan meja di kalangan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Jelasnya, semakan Auku perlu dilakukan bagi mengembangkan minda dan daya intelektual mahasiswa agar mencapai taraf modal insan sebagaimana yang diharapkan oleh Perdana Menteri kepada warga universiti.

Sehubungan itu beliau mengharapkan satu rundingan dengan Pakatan Rakyat dapat dilakukan agar pindaan Auku dibuat dengan lebih matang demi kebaikan negara.

"Sama ada mereka ingin menyokong kerajaan atau manyertai pembangkang, itu tanda demokrasi," katanya.

Sementara itu Khaled dalam jawapannya menyatakan semakan terhadap Auku telah dilakukan.

"Perkara ini telah dibuat. Kerajaan yang ada adalah kerajaan yang sama cuma menteri berkenaan sahaja berubah. Takkan kita akan merombak balik akta tersebut.

"Kita telah sampai peringkat akhir semakan dan saya akan bawa pindaan Auku pada tahun ini supaya Yang Berhormat tidak mempolitikkannya," rengus beliau.- tajdid

Tiada ulasan: