Bernas diarah tambah bekalan beras ST 15 bermula esok
KUALA LUMPUR: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) diarah menambah bekalan beras jenis Super Tempatan G15 (ST15) daripada 11,000 tan metrik sebulan kepada 20,000 tan metrik bermula esok, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed.
Beliau berkata ia bertujuan menjamin bekalan itu mencukupi di pasaran dan masyarakat diminta tidak panik dengan membeli beras dalam jumlah yang banyak.
"Kita diberi jaminan oleh Bernas mengenai bekalan ini. Mengenai Bernas, kerajaan juga akan mengkaji peranan Bernas dalam menjalankan tugasnya iaitu menjamin bekalan, menstabilkan harga, tanggungjawab sosial.
Unit Perancang Ekonomi (EPU) sudah diminta memulakan kajian mengenai keberkesanan Bernas.
"Kita akan tunggu hasil kajian dan tindakan akan dilakukan selepas itu," katanya menggulung perbahasan usul tergempar mengenai kenaikan beras yang dibawa oleh Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Kerajaan juga belum meluluskan permohonan Bernas untuk menaikkan harga beras yang dikawal iaitu ST15.
Mustapa berkata harganya tidak naik iaitu sekitar RM1.50 sekilogram hingga RM1.80 sekilogram mengikut zon dalam negara ini kerana dikawal tetapi beras jenis lain tidak dikawal.
Katanya jumlah pengguna yang menggunakan beras jenis ini sebelum ini hanya 10 peratus tetapi kini meningkat kerana beras jenis lain seperti ST5 dan ST10 sudah meningkat, menyebabkan pengguna beralih dengan membeli beras ST15.
Beras ST15 juga digunakan pihak industri untuk menghasilkan bihun dan mi menyebabkan permintaannya meningkat, katanya.
Beliau berkata oleh kerana harga beras di Thailand dan Vietnam meningkat sedangkan harga beras ST15 dikawal, buat pertama kalinya harga beras di beberapa buah negara lebih tinggi dari Malaysia dan ini kemungkinan boleh menyebabkan berlakunya penyeludupan keluar.
Katanya langkah diambil kerajaan pula adalah memperuntukkan sebanyak RM4 bilion iaitu sebanyak RM2.5 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan daripada jumlah itu pula sebanyak RM803 juta diperuntukkan untuk padi.
Beliau berkata ia bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran padi, baja, selain peruntukan untuk tanaman padi di seluruh negara dengan potensi seluas 100,000 hektar jelapang padi baru.
Mengenai penguatkuasaan kerajaan terhadap penipuan harga dalam penjualan beras yang dibangkitkan semasa perbahasan, Mustapa berkata setakat ini empat peniaga diambil tindakan dan mereka akan dikenakan hukuman.
"Kerajaan juga sudah berbincang dalam jawatankuasa menangani inflasi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dalam beberapa hal iaitu bagi menjaga kepentingan pengguna terutamanya yang berpendapatan rendah, penanam padi dan juga kerajaan sendiri berhubung pemberian subsidi," katanya.
Katanya kenaikan harga beras sebanyak tiga kali ganda secara global tidak mungkin dapat ditangani 100 peratus tetapi sedikit sebanyak dapat diatasi.
Sementara itu di lobi Parlimen, Mustapa berkata negara kini mempunyai 550,000 tan metrik beras simpanan stok penimbal, yang mencukupi untuk tiga bulan mengikut tiga komponen iaitu disimpan Bernas mengikut perjanjian penswastaan, padi yang boleh dikisar bilabila masa dan stok sedia untuk dikeluarkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan