Dilema Pengerusi SPR, wajar berundur?
Oleh G. MANIMARAN
KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memikul tanggungjawab penuh dalam isu pembatalan dakwat khas. Langkah susulan, wajarkah beliau berundur?
Ketika punca yang membawa kepada pembatalan dakwat khas masih 'kabur', Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) berpendapat, jika benar panel SPR termasuk Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman "didapati bersalah dalam membuat keputusan berkenaan, maka beliau wajar melepaskan jawatan."
"Tetapi kita masih belum jelas apakah punca sebenar menyebabkan pembatalan penggunaan dakwat khas ketika pengundian.
"Kerajaan perlu menubuhkan sebuah badan khas untuk menyiasat dan jika didapati beliau (Pengerusi) salah dalam membuat keputusan salah, dan jika perlu ke arah itu, maka beliau wajar diminta berundur," kata Pemangku Pengerusi Marfel, Syed Ibrahim Syed Noh kepada mStar Online hari ini.
Menurut beliau, Perdana Menteri mengatakan bahawa Kabinet hanya memberi pandangan, bukannya arahan dalam isu penggunaan dakwat khas pada hari pengundian manakala berdasarkan pandangan Abdul Rashid pula, Jemaah Menteri tidak meluluskan rancangan pihaknya pada hari Parlimen dibubarkan iaitu 13 Februari disebabkan dua alasan
Dua alasan itu ialah demi keselamatan awam dan perundangan.
Ekoran itu, kata Abdul Rashid, SPR memutuskan untuk membatalkan rancangan itu daripada diteruskan.
Keputusan pembatalan diumumkan empat hari sebelum pengundian 8 Mac.
Oleh itu, kata Syed Ibrahim, tidak jelas apa sebenarnya yang berlaku dalam soal membuat keputusan mengenai isu berkenaan.
Marfel berpendirian tegas bahawa penggunaan dakwat wajar dilaksanakan ketika pilihan raya umum 8 Mac meskipun tidak yakin sama ada ia boleh seratus peratus menangani dakwaan kewujudan pengundi hantu atau pengundian berganda serta persepsi negatif mengenai perjalanan pilihan raya.
Kata beliau, meskipun SPR ialah sebuah badan bebas, dalam operasi pengurusan pilihan raya ia masih tertakluk kepada bidang kuasa eksekutif kerana diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Oleh itu, beliau merasakan, walaupun Kabinet hanya memberikan pandangan dalam isu tersebut, SPR kemungkinan menerimanya sebagai "satu dasar."
Jadi, kata beliau, sekali lagi wujud status kekaburan dalam soal ini.
"Jadi tidak pasti apa yang berlaku dalam soal ini. Jadi, kita perlu ada siasatan mendalam bagi mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku," katanya.
Selain itu, menurut beliau, perbezaan pandangan membabitkan Abdullah dan Abdul Rashid juga berlaku disebabkan kekaburan dalam soal fungsi dan pengasingan peranan SPR dan kuasa eksekutif.
Dengan mengambil kira situasi berkenaan, kata beliau, sudah tiba masa bagi kerajaan meletakkan tanggungjawab SPR terus kepada Parlimen selari dengan kedudukannya sebagai sebuah badan bebas mengendalikan pilihan raya.
Malah, SPR juga perlu diberikan bidang kuasa yang besar dan menyeluruh dalam soal pengurusan pilihan raya bagi mengelakkan kes-kes terbaru.
"Mengambil kira perkembangan semasa termasuk soal pembatalan dakwat ini, Marfel melihat sudah tibanya untuk mengkaji peranan dan kedudukan SPR (secara menyeluruh)," katanya.
Jelas beliau, saranan-saranan sedemikian boleh dikemukakan oleh sebuah badan khas ditubuhkan.
Semalam, Abdul Rashid juga menyarankan agar undang-undang pilihan raya negara dirombak dengan memberikan kuasa tambahan kepada suruhanjaya berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan