Isu kekurangan beras catat sejarah baru negara
Salmah Mat Husain
KOTA BHARU (hrkh) Memalukan, apabila bekalan beras bagi keperluan asas rakyat berkurangan di pasaran sehingga mendorong harganya meningkat berkali ganda.
Situasi berlaku sekarang tidak pernah terjadi dalam sejarah negara memandangkan dahulunya Malaysia dikenali sebagai negara pertanian.
Sebelum ini negara hanya sering dilanda kemelut kekurangan gula, gandum dan minyak masak sahaja.
Oleh itu bagi menangani bersama isu tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi disaran menjemput sama Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri Pakatan Rakyat (PR) bagi mencari jalan penyelesaiannya.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, kelima-lima pemimpin kerajaan negeri yang dikuasai PR perlu dijemput membincangkan masaalah tersebut yang mendatangkan kesan kepada rakyat sekarang.
Selain itu beliau mencadangkan Perdana Menteri merombak pendekatan sedia ada agensi pertanian bagi memastikan kekurangan bekalan beras tidak berlarutan dalam tempoh lama.
“ Suasana yang terjadi sekarang begitu memalukan kerana ia tidak pernah berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan.
“ Selain itu agensi-agensi yang berkaitan seperti Bernas dan Kada perlu dirombak semula. Misalnya peranan yang dimainkan Kada bagi meningkatkan pengeluaran padi di Kelantan kurang memberi kesan “ , katanya di sini, hari ini.
Agensi-agensi pembangunan pertanian seperti Kada dipengerusikan pemimpin Umno. Mereka tidak memberi kerjasama baik kepada kerajaan negeri.
Malah tiada wakil kerajaan negeri dilantik ke dalam lembaga pengarahnya sebagaimana termaktub dalam Akta Kada.
Selain itu, skim baja subsidi yang disalurkan kepada petani lebih bermotifkan politik apabila petani bukan di kalangan penyokong Umno dinafikan mendapatkan bantuan tersebut.
Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan berkata, petani di Kelantan tidak dapat mempertingkatkan pengeluaran padi memandangkan saiz sawah yang tidak ekonomik. - mj
Tiada ulasan:
Catat Ulasan