HALAMAN SANTAI

Selasa, 13 Mei 2008

Kenyataan Pengarah Kemas Kelantan diragui
Lanjusoh


KOTA BHARU (Hrkh) “Kita telah memohon lebih 60 kali sejak 2006 dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tapak tetapi jawapannya dukacita, “ kata Pengarah Kemas Kelantan, Dr Sanusi Mohd Yazid.

Rasionalkah kenyataan yang dikeluarkan pegawai terbabit atau silap lapor media tempatan.

Kalau benarlah begitu, apabila dihitung sejak 2006 hingga sekarang bermakna dua tahun atau 24 bulan. Lojikkah dalam tempoh 24 bulan sudah 60 hari surat dihantar.

“ Ini bermakna setiap bulan dua pucuk surat dihantar. Laratkah Pengarah Kemas untuk menulis surat begitu banyak sehingga tidak ada kerja lain agaknya,” kata anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah.

Semalam Pengarah Kemas Kelantan mendakwa pihaknya menunggu dua tahun tahun untuk membina kompleks peringkat negeri dengan kos RM24 juta, namun gagal.

Disebabkan kegagalan itu kata beliau dilaporkan berkata, sebahagian peruntukan yang diluluskan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah telah ditarik balik dan diagih-agih ke negeri lain.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri berkata, sepatutnya pegawai terbabit memberitahu tarikh sebenar permohonan dibuat dan tapaknya di mana bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Menurutnya kenyataan yang dibuat biarlah munasabah dan bukannya memberi ruang kepada orang lain pula mempertikaikannya.

“ Kalau dah 60 kali memohon dalam tempoh 24 bulan, saya pun rasa tidak munasabah juga. Saya berharap pegawai terbabit nyatakan dengan tepat bila permohonan dibuat dan di mana tapak yang dicadangkan,” ujarnya di sini.

Katanya, tiada sebab kerajaan negeri menolak permohonan agensi kerajaan pusat membina premis mereka di sini sekiranya ia mendatangkan manfaat kepada rakyat. - mj

Tiada ulasan: