HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Mei 2008

Kerajaan sedia jalur lebar kelajuan tinggi di kawasan padat terpilih


KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di kawasan berkepadatan tinggi terpilih dalam usaha untuk membolehkan sambungan internet yang lebih laju di negara ini, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Mansor, hari ini.

Sambungan laju akan membantu meningkatkan persaingan negara, produktiviti perniagaan, universiti, sektor perubatan serta perkhidmatan sosial, katanya pada sidang media di Parlimen.

HSBB akan mempunyai kelajuan 10 megabit sesaat (mbps) dan satu gbps (gigabit sesaat) dan jalur lebar untuk tujuan am (BBGP), dengan kelajuan sehingga dua mbps, katanya.

Bagi mencapai objektif mencapai sasaran nasional bagi penebusan jalur lebar kepada 50 peratus isi rumah pada 2010 daripada 18 peratus sekarang, beliau berkata Malaysia akan diklasifikasikan dalam tiga zon.

Zon 1 akan diliputi HSBB dan BBGP, yang melibatkan kawasan ekonomi utama dan berkepadatan tinggi seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu dan utara Pulau Pinang, manakala Zon 2 akan diliputi BBGP.

Zon 3 merujuk kepada kawasan luar bandar yang jurang digitalnya perlu ditangani menerusi pembiayaan daripada dana Peruntukan Perkhidmatan Sejagat (USP) Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC). Shaziman tidak mengenal pasti kawasan-kawasan dalam Zon 2 dan 3.

Kerajaan menerusi program awam-swasta (PPP) akan bekerjasama dengan Telekom Malaysia untuk melaksanakan HSBB di Zon 1.

Beliau berkata, kerajaan melaksanakan pendekatan PPP kerana memperakui bahawa ia memerlukan infrastruktur berskala besar yang membabitkan akses sambungan akhir, teras dan rangkaian antarabangsa yang mungkin tidak berdaya maju jika dilaksanakan oleh pelaksana tunggal atau sektor swasta.

TM dipilih kerana kerajaan mahu HSBB disediakan secepat mungkin dengan kos yang cekap.

TM kini memiliki 95 peratus daripada infrastruktur talian tetap sedia ada dan oleh itu ia merupakan pilihan semula jadi bagi menaik taraf rangkaian sedia ada untuk penugasan HSBB.

Beliau berkata infrastruktur HSBB akan disediakan dengan anggaran kos RM15.2 bilion dalam tempoh 10 tahun.

Dalam tempoh tiga tahun pertama, TM perlu membelanjakan RM8.9 bilion untuk projek itu manakala kerajaan akan melabur sebanyak RM2.4 bilion.

Projek itu yang akan dilaksanakan mengikut fasa, membabitkan perbelanjaan RM11.3 bilion yang meliputi 1.3 juta premis. BERNAMA

Tiada ulasan: