Khalid jamin usaha tumpu selesaikan masalah pengangguran
Roy Rasul dan Anis Nazri
KUALA KUBU BAHARU (Hrkh) - Kerajaan negeri Selangor berhasrat meningkatkan program yang mempunyai potensi dalam pasaran pekerjaan sebagai penyelesaian kepada masalah pengangguran di kalangan belia di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri cuba mengelak untuk menyediakan program yang tidak menjanjikan peluang pekerjaan bagi para belia.
"Sebaliknya program yang ditawarkan, Insya-Allah sekurang-kurangnya mampu meningkatkan kemahiran para belia, daya saing dan motivasi diri agar berada pada tahap yang tinggi dan mempunyai potensi mendapat pekerjaan yang sesuai," kata beliau semasa berucap dalam majlis perasmian penutupan program Pembangunan Belia Negeri Selongor (Kursus jati diri/motivasi siri: 1/2008) di Kem Bina Semangat Yayasan Selangor, Ampang Pecah, petang semalam.
Sehubungan itu katanya, para peserta program diminta mempertingkat kualiti diri dalam bidang latihan dan kemahiran, terutamanya mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi awam atau swasta.
Oleh itu, katanya Yayasan Selangor perlu perhebatkan usaha membangunkan program kemahiran yang sedang dan bakal dilaksanakan di Institut Kemahiran Yayasan Selangor dan Kolej Inpens.
Katanya, peluang juga diberikan kepada mereka yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Universiti Selangor (Unisel).
Malah katanya, bagi melaksanakan hasrat murni tersebut kerajaan Selangor sedia membantu Yayasan Selangor, Inpens dan Unisel khasnya dari segi penajaan kewangan bagi pembiayaan kemasukan belia mengikuti program latihan dan kemahiran.
"Saya harap program ini dapat diteruskan dan mendapat mandat serta kepercayaan masyarakat. Dan program-program yang ditawarkan di Inpens dan Unisel boleh dirangka sehingga layak mengurniakan diploma atau ijazah kepada para lulusan dan graduan," katanya.
Sementara itu, dalam sidang medianya selepas itu, Khalid menjelaskan program belia pertama ini sebagai langkah membangunkan belia dalam usaha jaya diri dan tingkatkan kemharian mereka, di mana ia dibuat sebagai kes 'study'.
"Kita bermula di Dun Ijok dulu, di mana kita telah adakan survey sejak sebulan lalu untuk mencari belia yang tidak bekerja agar mereka berdaftar di pejabat DUN.
Hasilnya, kita berjaya mengumpul hampir 300 orang belia di Ijok sahaja dan berjaya membawa 147 belia untuk menyertai kursus di sini. Selepas ini, mereka akan disalurkan ke mana-mana kerjaya yang dipilih mereka. Antara lain, dimasukkan ke Kolej Antarabangsa Inpens," tegas beliau.
Sehubungan itu, katanya belia di negeri ini akan mempunyai rancangan dan haluan, sekaligus hidup sebagai manusia yang akan memberi bakti kepada masyarakat.
Dalam pada itu, Khalid turut menyatakan bahawa program ini akan dipanjangkan ke semua daerah dan berharap dapat menjelajah ke semua daerah di Selangor dalam tempoh setahun.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan memastikan idea-idea atau mekanisme tertentu bagi memastikan tiada belia yang ditinggalkan di Selangor dalam keadaan tidak berkerja.
"Program ini juga tidak terhad kepada satu kaum semata-mata, tetapi terbuka kepada semua kaum dan ianya percuma. Kita harap program seperti ini dihebahkan bagi memudahkan para belia berdaftar kepada kita (kerajaan negeri).
Kalau dulu, kita rasa belia boleh cari sendiri saluran mana yang dia ingin ikuti.
Sebenarnya susah bagi mereka. Jadi sekarang kita yang cari mereka. Kita mahu kurangkan benda-benda yang menyekat belia ini untuk mendapatkan peluang pekerjaan," jelas beliau. - mr
Tiada ulasan:
Catat Ulasan