HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Mei 2008

Pencerobohan di tiga kawasan tadahan air Selangor ancam tanaman padi
Harakahdaily


TANJONG KARANG - Bernama melaporkan lebih 9,000 petani di Tanjong Karang, Sabak Bernam, Sekinchan dan Kuala Selangor menghadapi ancaman kemusnahan tanaman padi mereka berikutan tiga kawasan tadahan air yang menjadi punca pengairan kepada sawah mereka dicerobohi sindiket curi balak sejak dua tahun lepas.

Tinjauan di kawasan Hutan Simpan Raja Musa seluas 650 hektar menunjukkan berlakunya aktiviti penebangan hutan di situ. Kawasan terbabit juga kelihatan sudah 'dibersihkan' untuk tujuan pertanian.

Selain Hutan Simpan Raja Musa, dua lagi hutan simpan yang menjadi kawasan tadahan hujan yang menyalurkan air ke kawasan sawah berkenaan ialah Hutan Simpan Bestari Jaya dan Hutan Simpan Ladang Hopeful.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri Yaakob Sapari meninjau keadaan kawasan hutan itu Selasa.

Beliau berkata isu penebangan hutan itu dipandang serius kerana mengakibatkan kawasan tadahan air itu kering kontang selain menjejaskan ekosistem alam sekitar.

Katanya dalam pertemuan dengan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri semalam, beliau dimaklumkan tindakan telah diambil ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab itu, Bagaimanapun, kegiatan penebangan hutan berulang walaupun kompaun telah dikenakan ke atas mereka.

"Perkara ini serius kerana melibatkan sawah padi yang menjadi punca pendapatan petani di sini. Mereka juga boleh mengalami kerugian sekiranya sawah tidak mendapat air yang mencukupi," katanya.

Ditanya sama ada perbuatan itu melibatkan sindiket tertentu, Yaakob berkata:"Saya yakin ada pihak tertentu terlibat dalam perkara ini, tapi sama ada melibatkan pejabat tanah atau tidak, saya tidak pasti."

Difahamkan tanah di kawasan terbabit turut dijual dengan harga antara RM8,000 dan RM8,500 setiap dua hektar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Setakat ini, kira-kira 100 orang dipercayai telah membeli tanah terbabit.

Yaakob berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian Negeri serta pihak berkuasa akan mengawal kawasan terbabit supaya tidak terus dicerobohi dan menjalankan usaha memulihkan semula kawasan itu dengan penanaman semula pokok.

"Pemulihan mungkin memakan sedikit masa tapi kita akan pastikan tiada lagi penebangan hutan berlaku," katanya.

Terdapat 9,332 pesawah membabitkan kawasan seluas 19,087 hektar di empat daerah itu dengan pengeluaran semusim sebanyak 13 tan melebihi sasaran kerajaan pusat yang meletakkan sasaran antara tujuh hingga lapan tan semusim. - mr

Tiada ulasan: