Safar Jumaat
DI PENGHUJUNG karier politiknya, Presiden Umno dan Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat keputusan yang menjadi bahan jenaka di kalangan ahli-ahli Umno, apabila beliau meminta para pelobi dan perayu undi calon-calon yang bertanding, menghentikan kegiatan mereka.
Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di PWTC, petang Jumaat lalu, Abdullah mengingatkan pelobi dan perayu undi supaya berhati-hati sebelum ditangkap pemantau parti.
Amaran yang tidak berkesan itu, tidak sepatutnya dibuat oleh Abdullah kerana semua jawatan dipertandingkan, tetapi Abdullah sudah tidak 'berada di situ' apabila perwakilan membuat keputusan memilih siapa yang mereka mahu nanti.
Malahan, Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri yang dinamakan sebagai penganti Abdullah, turut mengharapkan pencalonan kerana beliau sendiri mengharapkan 'menang tanpa bertanding' bagi jawatan Presiden di suatu sudut lain ada seorang calon lagi yang turut mengharapkan pencalonan jawatan nombor satu Umno itu.
Apakah orang-orang Najib tidak ada memainkan peranan menjadi pelobi dan perayu undi bagi mendapatkan pencalonan mutlak dari bahagian-bahagian?
Selagi Najib belum menerima pencalonan dari 132 bahagian, Najib sebenarnya tidak mampu untuk tersenyum girang, kerana saingannya (walaupun kelihatan seperti mustahil), masih mampu melakukan sesuatu.
Abdullah yang kelihatan terkial-kial untuk menafikan beliau lebih mirip menyokong Dato' Seri Mohd Ali Rustam sebagai Timbalan Presiden Umno, semua pihak sedang meneliti kenyatan-kenyataan yang keluar dari mulut Abdullah mengenai pertandingan kali ini.
Selepas 27 tahun, jawatan-jawatan tertinggi Umno, buat pertama kali dipertandingkan secara terbuka. Walaupun Abdullah enggan mempertahankan jawatannya, atas kehendaknya sendiri, tetapi para penyokongnya yang belum bersedia untuk kehilangan Abdullah, menjalankan tugas dan gerak kerja untuk menafikan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin boleh menang mudah bagi jawatan Timbalan Presiden Umno.
Sejauh mana 'gerakan orang Abdullah' ini mendapat persetujuan Abdullah, namun tiada siapa mampu menafikan orang-orang termasuk Setiausaha Politiknya, Dato' Alwi Che Ahmad dan Dato' Reezal Merican Naina Merican menjalankan kerja-kerja melobi dan merayu supaya pencalonan untuk Mohd Ali dicukupkan.
Menjelang minggu ketiga persidangan bahagian berlangsung, Mohd Ali dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib berjaya mengumpul 40 pencalonan (Mohd Ali 23 dan Muhammad 17).
Kuota untuk bertanding Timbalan Presiden ialah 39, menunjukkan bahawa jika hanya seorang sahaja calon yang menentang Muhyiddin, dipercayai calon itu, berjaya mendapat cukup quota untuk bertanding - jika jumlah bahagian yang tidak mencalonkan Muhyiddin diambil kira.
"Najib memang beregu dengan Muhyiddin,"kata seorang bekas Naib Presiden Umno tetapi sehingga kini, belum ada satu kenyataan rasmi yang Najib keluarkan mengenai regunya kecuali usahanya menghalang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut bertanding Timbalan Presiden Umno.
Khabarnya, Najib ada memberi signal kepada beberapa ketua bahagian dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri-negeri, bahawa beliau mahukan Muhyiddin sebagai timbalannya tetapi disebabkan Najib pun bertanding bagi jawatan Presiden Umno, maka kenyataan itu tidak berani diucapkan secara terbuka.
Malahan, ada orang-orang Mohd Ali berkempen mengatakan Najib merestui Mohd Ali bertanding Timbalan Presiden bagi memudahkan Najib menjadi Perdana Menteri, tanpa ada gangguan dari timbalannya, yang merupakan seorang Ketua Menteri.
Justeru, seruan dan arahan supaya pelobi dan perayu undi pulang ke kawasan masing-masing dan jangan berada di hotel-hotel dan tempat-tempat pertemuan, ibarat mencurah air ke daun keladi.
Sebenarnya, Abdullah sendiri, pernah bertanding Ahli MT dan Naib Presiden cukup berpengalaman dalam soal pelobi dan perayu undi. Mana mungkin, mereka yang hendak bertanding tidak mempunyai pelobi dan perayu undi, kerana kerja itu adalah kerja sukarela yang bermanfaat.
Begitu juga Najib. Mustahil Najib mahu mengarahkan orang-orangnya supaya balik ke kawasan masing-masing kerana kedatangan mereka ke Kuala Lumpur dan pemergian mereka ke merata tempat, bagi berjumpa dengan perwakilan dan ketua-ketua bahagian, adalah budaya dan satu kemestian dalam pertandingan parti.
Ini bukan kerja baru. Ini bukan budaya baru. Ini bukan cerita baru. Kerja ini, sudah lama dilakukan. Budaya ini sudah lama diperkenalkan.
Cerita ini sudah menjadi rahsia terbuka kepada semua perwakilan dan ketua-ketua bahagian, khususnya mereka yang tidak berjawatan dalam kerajaan.
"Bila lagi nak rasa duit menteri,"kata seorang ketua bahagian dari Kuala Lumpur. Menurutnya, musim pertandinganlah menjadikan menteri (yang nak bertanding) bersifat pemurah. Jika tidak, jangan haraplah hendak merasakan belanja mereka, katanya.
Apa yang menarik, semua yang hendak bertanding bakal ditelanjangkan kisah mereka. Masing-masing akan memburukkan antara satu dengan yang lain. Akhirnya, mereka semuanya akan diketahui pekung mereka sebaik sahaja sampai tarikh mengundi.
Sudah ada risalah, makalah, sms, buku, vcd dan macam-macam dokumen memburuk-burukkan antara satu dengan lain tersebar. Ada juga tohmahan dibuat untuk memecahkan ikatan dan regu Najib-Muhyiddin.
Malah, orang-orang yang mengaku sebagai penyokong sejati Abdullah seolah-olah diharamkan daripada mengundi dan menyokong Muhyiddin. Abdullah mungkin menafikan cerita ini tetapi, di bawah - cerita ini tersebar dengan gagahnya.
Malahan, para penyokong totok Abdullah sedaya upaya mahu Najib 'tidak yakin' dengan kejujuran Muhyiddin supaya akhirnya nanti, Najib menolak Muhyiddin sebagai regunya.
Muhyiddin tahu semua ini tetapi apabila ditanya oleh kawan-kawannya, Muhyiddin berkata; "belum pernah saya menulis surat atau mengeluarkan kenyataan supaya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berhenti. Jauh sekali saya mendesaknya supaya tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno. Kenapa apabila beliau enggan mempertahankan jawatan Presiden, saya dipersalahkan?" - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan