Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
PETALING JAYA – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa capaian atau akses ke laman web Malaysia Today dengan menggunakan komputer riba jenis Asus milik Raja Petra Raja Kamarudin bagi tarikh antara 11 April dan 26 April lalu telah dipadamkan.
Asisten Supritendan (ASP) Wa’ie Isqal Kria Abdullah, 38, dari Bahagian Forensik Komputer, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial berpendapat, program dipanggil clean it telah digunakan untuk tujuan tersebut kerana tiada sebarang data dijumpai di dalam unallocated cluster atau tempat fail-fail yang telah dipadam disimpan.
Beliau yang bertanggungjawab membuat analisis ke atas komputer riba dan unit pemerosesan sepusat (CPU) milik Raja Petra, memberi keterangan sebagai saksi pendakwa ketujuh.
‘‘Tiada capaian dilakukan pada 11 April hingga 26 April 2008. Saya berpendapat data telah dipadamkan oleh pengguna komputer riba dengan menggunakan program yang dipanggil clean it. Program itu digunakan untuk memadamkan semua fail sementara dalam komputer riba tersebut.
‘‘Masih ada capaian pada tarikh lain diperolehi daripada komputer riba yang sama kerana clean it adalah program yang mana pengguna boleh tentukan tarikh, masa dan lokasi fail sementara yang ingin dipadam,’’ jelasnya.
Menurut Wa’ie, hasil analisis ke atas CPU dan komputer riba itu, beliau tidak menjumpai sebarang data atau dokumen yang berkaitan dengan artikel Let’s Send The Altantuya Murderers To Hell sebagaimana yang dipohon oleh pegawai penyiasat kes.
Katanya, CPU itu juga didapati tidak digunakan untuk mengakses laman web Malaysia Today. Bagaimanapun, terdapat beberapa capaian ke laman web tersebut dilakukan dengan menggunakan pengenalan pengendali melalui komputer riba.
‘‘Pengendali adalah pengenalan pengguna yang digunakan oleh seseorang yang mana dia mempunyai akses untuk menyunting, memadam atau menambah data-data di dalam laman web berkenaan.
‘‘Hasil analisis mendapati akses tersebut menggunakan nama pengguna Raja Petra dan nama pengguna merupakan pengendali laman web itu,’’ katanya lagi.
Raja Petra, 58, didakwa menerbitkan satu artikel bertajuk Let‘s Send the Altantuya Murderers To Hell (Mari hantar pembunuh-pembunuh Altantuya ke neraka) yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://www.MalaysiaToday.com.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh pada 25 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan turut membuat permohonan agar Wa’ie diberi kebenaran untuk memeriksa semula isi kandungan beberapa fail dalam CPU dan komputer riba milik Raja Petra yang tidak diperiksa sebelum ini.
Permohonan yang dibuat mengikut Seksyen 425 Kanun Tatacara Jenayah itu bertujuan untuk membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan semua keterangan yang ada di dalam CPU dan komputer riba itu.
Pihak pembelaan bagaimanapun membantah dengan alasan ia tidak selaras dengan Seksyen 425 yang membolehkan mahkamah memeriksa atau memanggil semula saksi selain ia kemungkinan akan bertindih dengan analisis sebelum ini.
Hakim Rozina Ayob akan membuat keputusan berhubung permohonan itu esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan