MSTAR ONLINE
KUALA LUMPUR: Ketua kumpulan ajaran sesat, Arifin Muhamad atau lebih dikenali sebagai Ayah Pin, 65, yang pernah menghilangkan diri kerana didakwa mengasaskan satu ajaran sesat, kini dilaporkan berada di Terengganu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini berkata polis bagaimanapun tidak dapat mengambil tindakan terhadapnya setelah Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu memaklumkan kepada polis untuk tidak menahannya.
"Polis mempunyai maklumat bahawa Ayah Pin yang dipercayai berada di Thailand Selatan telah pulang ke tanah air. Apabila dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu sama ada untuk menahannya, jabatan berkenaan mengatakan tidak perlu," kata Musa ketika menyampaikan ucap utama pada seminar Memperkasakan Pentadbiran Keadilan Di Mahkamah Syariah di Universiti Islam Antarabangsa di Gombak dekat sini.
Musa berkata bahawa tindakan tidak dapat diambil Ariffin disebabkan tidak ada penyelarasan penguatkuasaan antara Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu dan polisNamun, katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Terengganu untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu mengenai sebab Ariffin tidak perlu ditahan.
Ayah Pin pernah menggemparkan tanah air kira-kira tiga tahun lalu.
Dia yang mengakui mengetuai 'Kerajaan Langit' mempunyai sekumpulan pengikut yang amat taksub dengannya.
Kumpulan yang melanggari lunas-lunas Islam itu berjaya dihapuskan, manakala Ayah Pin pula menghilangkan diri.
Sebelum ini, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana dikatakan bertindak menghina pihak berkuasa agama di rumahnya di Kampung Batu 13, Mukim Tenang, Hulu Besut pada 20 Julai 2005.
Tertuduh dikatakan mengingkari fatwa bahawa ajaran yang diamalkannya sesat dan menyeleweng serta boleh membawa ancaman kepada ketenteraman awam serta boleh merosakkan akidah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan