NOOR ALLIA KASSIM
SHAH ALAM – Tempoh satu bulan diberikan kepada keluarga Allahyarham Dato’ Zakaria Md Deros, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang untuk mengosongkan laman seluas setengah ekar di kawasan banglo kediaman mereka.
Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata permohonan pemilikan tanah seluas 2,269 meter persegi di Kampung Idaman itu telah ditolak Jawatankuasa Tanah Daerah pada 14 Disember tahun lalu.
Katanya, jawatankuasa berkenaan telah membuat keputusan, sekiranya ada sebarang rayuan, ia harus dibuat terus kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“MMKN hari ini telah mengarahkan pihak MPK (Majlis Perbandaran Klang) untuk memberitahu keluarga Allahyarham supaya mengosongkan tanah tersebut dalam masa sebulan dan mengeluarkan kompaun atas kesalahan menceroboh tanah milik kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan MMKN petang ini.
Kerajaan negeri katanya, berharap agar arahan itu dipatuhi tanpa perlu mengambil sebarang tindakan undang-undang atas dakwaan menceroboh tanah kerajaan.
Banglo yang siap dibina pada awal Oktober tahun lalu itu pernah mencetus kontroversi apabila kerja pembinaannya pada awal 2006 dimulakan tanpa kelulusan kebenaran merancang dan kelulusan pelan bangunan.
Atas sebab itu, pihak MPK telah mengenakan denda sebanyak RM19,373.00 iaitu 10 kali ganda bayaran pelan bangunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan