HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 November 2008

GGMM cabar Zaid berdebat isu ketuanan Melayu

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) mencabar bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim untuk berdebat berhubung dakwaan kegagalan konsep ketuanan Melayu.

Presiden Penaja GGMM, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Zaid diminta menyahut cabaran itu dan hadir sendiri pada malam 26 November ini di Kajang, Selangor untuk menjelaskan mengapa konsep ketuanan Melayu itu dirasakan tidak perlu wujud.

''Kami mahu dia sahut cabaran debat dengan saya ini. Kita minta dia memberi pendapat dan rasional mengapa konsep ketuanan Melayu dirasakan tidak perlu wujud.

''Jika Zaid takut, kami tetap benarkan dia menghantar wakil atau hujah bertulis yang akan dibacakan pada malam itu nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zaid ketika berucap pada Persidangan LawAsia 2008 baru- baru ini menyifatkan konsep ketuanan Melayu menyebabkan berlaku pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu negara.

Ucapan itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak yang meminta Zaid segera membuat permohonan maaf.

Mohd. Khairul Azam yang juga seorang peguam berkata, Zaid juga perlu menjelaskan apa yang pernah diperolehinya sepanjang karier dan kehidupannya daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada malam tersebut nanti.

''Kita hendak dia sedar diri dan berani nyatakan bahawa kekayaannya hari ini bukanlah dari DEB.

''Kita beri Zaid 50 minit dan berhujah. Kita dengar hujah dan sedarkan dia semula tentang asal usulnya sebelum ini ," ujarnya.

Selain itu katanya, pihak GGMM turut menjemput orang ramai untuk untuk hadir dan mendengar sendiri hujah yang akan diberikan oleh Zaid tentang konsep ketuanan Melayu dari pandangannya sendiri.

''Orang ramai akan menjadi saksi dan menilai apa sahaja yang akan dikatakan Zaid. Kita juga memberi peluang kepada masyarakat untuk menanyakan soalan dalam sesi soal jawab yang akan dibuka selepas debat selesai,'' jelasnya.

Tambahnya, orang ramai yang yang berminat juga boleh melayari laman blog, www.graduanmelayumuda.blogspot.com untuk keterangan lanjut mengenai debat itu.

GGMM sebelum ini pernah memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung tindakannya meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memasang papan tanda pelbagai bahasa di kawasan tapak warisan di Georgetown.

Tiada ulasan: