HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 November 2008

IPF gantung Timbalan dan Naib Presiden, Ketua Pemuda muflis

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Barisan Progresif India (IPF) kini berada di persimpangan, dengan timbalan presiden dan naib presiden digantung tiga bulan bagi masalah disiplin manakala Ketua Pemudanya diminta meletakkan jawatan kerana muflis.

Mereka ialah timbalan presiden V. Senggutuan, naib presiden M. Mathyalagan dan ketua Pemuda R. Ravi Shankar.

Senggutuan didakwa melanggar peraturan parti manakala Mathyalagan dikatakan mengeluarkan kenyataan akhbar yang mencemarkan kepimpinan parti.

Ravi diminta melepaskan jawatannya kerana beliau diisytiharkan muflis.

Presiden IPF, Puan Sri Jayashree Pandithan hari ini berkata, lembaga disiplin parti yang bermesyuarat baru-baru ini, memutuskan Senggutuan digantung, berkuat kuasa 10 November kerana melanggar peraturan parti.

Katanya beliau tetap mengadakan mesyuarat majlis tertinggi walaupun telah dibatalkan dan membuat kenyataan yang mencemarkan imej IPF.

Jayashree berkata mesyuarat majlis tertinggi yang dijadual diadakan pada 12 Oktober lepas telah dibatalkan pada saat-saat akhir kerana beliau dan beberapa pegawai kanan IPF mengalami keracunan makanan.

"Setiausaha agung telah memaklumkan anggota majlis mengenai pembatalan itu tetapi beberapa anggota tidak menghiraukannya dan tetap mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Senggutuan.

"Lembaga disiplin yang dipengerusikan oleh seorang lagi timbalan presiden parti, K. Murugiah, menyiasat perkara itu dan mencadangkan tindakan yang perlu diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan itu.

"Anggota majlis lain yang menghadiri mesyuarat itu telah diberikan surat tunjuk sebab," kata presiden IPF pada sidang akhbar di Wisma IPF di sini.

Jayashree mewarisi jawatan presiden parti daripada suaminya yang juga pengasas IPF, Tan Sri M. G. Pandithan, yang meninggal dunia akibat kanser pada Mei lepas.

Mengenai Mathyalagan, Jayashree berkata beliau digantung kerana mengeluarkan kenyataan bercanggah terhadap kepimpinan IPF yang telah mewujudkan ketidaktentuan dalam parti.

Katanya Ravi, yang diisytiharkan muflis, diberikan masa sehingga 24 November untuk melepaskan semua jawatan parti.

Jayashree berkata carian rasmi dengan Jabatan Insolvensi mengesahkan Ravi diisytiharkan muflis tetapi beliau tidak memaklumkannya kepada parti mengenai statusnya itu.

"Beliau sepatutnya tahu bahawa sesiapa yang muflis tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam parti berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Sementara itu, Jayashree berkata, beliau masih menaruh harapan yang parti itu akan dibenarkan menyertai Barisan Nasional (BN).

Katanya beliau berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membincangkan perkara itu.

Beliau telah menulis surat mengenai hasrat IPF menyertai BN tiga bulan lepas tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas, katanya.

Tiada ulasan: