HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 November 2008

Kerajaan digesa pergiatkan industri herba

Roy Rasul


KUALA LUMPUR - Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena) berkata, produk tanaman herba khususnya untuk perubatan sangat baik dan berpotensi besar untuk negara.

Katanya, potensinya di masa akan datang dijangka mengalami pertumbuhan dengan pendapatan antara lapan hingga lima belas peratus.

Malah katanya, semasa berucap dalam Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 bagi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Perlimen hari, jika dilihat di sudut potensi industri herba di peringkat dunia ia mencecah AS200 bilion.

"Ini bermakna potensi untuk masa depan produk herba di negara ini sangat baik dan sepatutnya menjadi agenda penting bagi membangun masyarakat kampung agar terlibat dalam penanaman herba," katanya.

Beliau berkata, ini kerana banyak tanah di kawasan kampung terbiar bahkan katanya penanaman herba tidak begitu sukar.

Bagaimanapun, yang penting katanya kursus dan latihan kepada orang kampung itu perlu dibuat.

Oleh kerana itu beliau berharap kementerian tersebut dapat bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk melihat bagaimana tanah-tanah yang terbiar di kampung-kampung, kediaman dan sebagainya boleh dimanfaatkan untuk tanaman herba.

"Sekarang ini produk herba yang berkaitan perubatan dan kesihatan sangat baik dan juga sebagai alternatif perubatan moden yang agak terlalu mahal," katanya.

Justeru katanya, ia perlu dilakukan segera kerana tumbuhan pegaganya contohnya yang mudah didapati untuk dibuat ulam perlu diambil daripada Indonesia ataupun India apabila mahu menghasilkan produk herba.

Ini katanya, disebabkan tidak ramai yang menanam dan memberi tumpuan khusus terhadap penanamannya sedangkan permintaan terhadap pegaga dan tanaman herba lain sangat tinggi.- mns_

Tiada ulasan: