MSTAR ONLINE
KUALA LUMPUR: Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berubah fikiran dalam soal peralihan kuasa dan saingan merebut kerusi Ketua Wanita?
Selepas mesyuarat Exco Wanita di sini semalam, Shahrizat berkata, cadangannya supaya pelan peralihan kuasa daripada Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz kepada beliau dipercepatkan kepada Mac depan ditolak oleh mesyuarat pergerakan itu semalam.
"Cadangan mempercepatkan pelan peralihan kepada Mac semasa Perhimpunan Agung Umno tidak diterima (Tan Sri) Rafidah dan exco, tetapi pelan peralihan seperti yang dirancang pada Jun tahun depan dikekalkan," katanya kepada Bernama.
Pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco Wanita, yang dipengerusikan Rafidah, Shahrizat menjawab empat soalan wartawan.
Kepada Bernama selepas sidang akhbar itu, beliau berkata, keputusan exco ialah untuk menerima saranan Rafidah seperti asal di samping menentukan tiada pertandingan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua pergerakan itu.
Shahrizat berkata pada masa yang sama, akan ada rundingan secara damai untuk menyelesaikan isu pengisian jawatan dan usaha untuk berunding bersama Datuk Kamilia Ibrahim, exco Wanita Umno yang turut layak bersama beliau untuk bertanding jawatan Naib Ketua.
Ditanya langkah beliau seterusnya ekoran penolakan usahanya agar pelan peralihan kuasa dipercepatkan selaras dengan pelan peralihan Umno induk, beliau berkata:
"Saya juga akan mengambil kira suara daripada akar umbi dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk Wanita Umno." "Untuk pelan peralihan ini berjaya, kita perlu ada kerjasama Kamilia, kalau tidak, akan ada pertandingan nanti untuk jawatan Naib Ketua".
Shahrizat berkata, beliau akan berusaha menyelesaikan isu itu secara damai berlandaskan kepada pendirian Rafidah, exco Wanita Umno serta amanah yang diberikan oleh akar umbi.
Kamilia yang juga Ketua Wanita Bahagian Kuala Kangsar, sebelum ini berkata, beliau mahu pelan peralihan itu dipercepatkan bagi mengukuhkan kepimpinan pusat pergerakan itu.Beliau berkata jika tempoh peralihan itu dilaksanakan mengikut perancangan asal, ia akan merugikan pergerakan itu kerana ia akan memberi kekosongan kepada jawatan Ketua Wanita dan melemahkan kepimpinan parti.
Shahrizat, yang turut layak bersama Rafidah bertanding jawatan Ketua Wanita pada pemilihan parti akan datang, bagaimana pun enggan menyatakan sama ada beliau akan membuat keputusan ke arah itu dalam masa terdekat seperti yang digesa oleh akar umbi.
BERITA TERDAHULU:
Rafidah, Shahrizat elak saingan; Wanita kekal peralihan kuasa Jun 2009
KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno kembali 'stabil selepas pergolakan sementara' dengan memutuskan bahawa pelan peralihan kuasa Jun 2009 sayap itu kekal.
Dengan keputusan itu, Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan kekal dengan jawatan masing-masing.
Malah, kedua-dua jawatan tersebut tidak akan dipertandingkan kali ini.
Shahrizat bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai dan anggota Kabinet dijadual mengambil alih jawatan Ketua Wanita mulai Jun.
Keputusan untuk kekal pada pelan peralihan itu diputuskan pada mesyuarat Exco Wanita yang berlangsung empat jam. Mesyuarat itu berakhir 2.40 petang tadi.
Pelan peralihan kuasa jawatan Presiden Umno membabitkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkuat kuasa Mac depan.
JAMIN PERPADUAN:
Rafidah menjelaskan, keputusan itu dicapai bagi menjamin perpaduan dan membantu proses pemulihan Umno dalam usaha mengukuhkan Umno yang akan menyaksikan peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib.
"Bagi kita Wanita sebagai tulang belakang Umno, kita membincangkan mengenai peranan kita dan sedar bahawa Wanita ini adalah harapan kepada Umno kerana kalau Umno ni nak kukuh, maka wanita umno juga hendaklah kukuh dan berpadu.
"Dengan cara begitu, barulah kita dapat menyumbang kepada proses pemulihan Umno dan dapat memberi kekuatan kepada pucuk pimpinan," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Wanita semalam.
Ketika ditanya sama ada beliau terkejut dengan dengan pencalonan yang diperolehi Shahrizat, Rafidah berkata, beliau tidak berasa apa-apa sebaliknya gembira dengan perkembangan itu dan menyifatkannya sebagai satu tanda yang positif.
"Saya menganggapnya sebagai mereka bersedia mengambil Shahrizat sebagai Ketua (Wanita Umno)... saya gembira.
"Kalau dicalonnya orang lain, risau saya sebab saya sudah calonkan Shahrizat sebagai pengganti saya.
"Itu bermakna lebih 70 bahagian bersedia menerima anda (Shahrizat) tapi tunggulah sikit masa lagi," katanya.
SYOR TIADA TANDINGAN:
Rafidah berkata, sebagai pemimpin, mereka telah mengesyorkan supaya tiada pertandingan untuk merebut dua jawatan tertinggi itu.
"Saya percaya wanita Umno sudah matang," katanya.
Berhubung kekosongan bagi jawatan Naib Ketua Wanita pada Jun nanti selepas Shahrizat memangku jawatan Ketua Wanita, Rafidah berkata, ia bukan satu masalah.
"Ini dah dibincang secara peribadi dan diserahkan kepada exco.
"(Dalam) exco ni, beliau (Shahrizat) akan jadi ketua. Biarlah panggil pemangku ke apa, kenyataannya beliau ketua yang akan bekerja dengan pasukan exco, penjawat-penjawat di ibu pejabat dan lebih penting lagi bekerja dengan ketua-ketua negeri.
"Saya pesan kepada Shahrizat, kalau tiada pertandingan dan beliau jadi pemangku, tidak mengapa tiada naib tapi beliau boleh tengok dalam ramai-ramai (exco), siapa wanita yang berpotensi sebagai naib, sama seperti saya melihatnya.
"Beliau (Shahrizat) ada peluang itu. Itu (jawatan pemangku) sekejap saja. Nanti sudah sampai masa. Itu bukan masalah," katanya.
Rafidah juga menolak kenyataan sesetengah pihak bahawa parti akan kembali pulih dengan sendirinya selepas pertandingan merebut jawatan.
"Ada orang kata, parti ni, selepas dah lawan-lawan, (akan) OK... saya cabar la, belum pernah OK.
"Daripada Presiden sampailah ke akar umbi, tak OK. Tiga empat tahun pun belum OK, sampai hari ini pun yang bermusuh lagi. Yang bercakap tu, dia lupa sejarah.
"Saya nak rapatkan Wanita sejak bertanding dulu punyalah lama kerana kadang-kadang kita emosi menyokong seseorang itu," katanya.
SHAHRIZAT AKUR:
Shahrizat dalam pada itu, berkata, beliau akur dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh exco.
"Saya masih menghormati pelan peralihan yang diumumkan Ogos lalu dan hari ini apabila kita dah berbincang, kita bersetuju untuk kekalkan peralihan pada untuk Jun.
"Kita mesti letakkan Pergerakan dan parti sebagai keutamaan," katanya.
Berhubung jawatan Naib Ketua Wanita yang turut menyaksikan Datuk Kamilia Ibrahim juga sudah layak bertanding, Shahrizat berkata, beliau dan Rafidah akan berbincang dengan Kamilia berhubung perkara tersebut.
Ketika ditanya mengenai kenyataan media yang dikeluarkannya semalam yang meminta Rafidah mempercepatkan peralihan kuasa,Shahrizat berkata, ia dibuat kerana beliau ingin berkongsi pemikirannya.
"Apabila habis sahaja mesyuarat Wanita bahagian semalam, saya mengambil kira suara akar umbi yang memberi kepercayaan kepada Tan Sri (Rafidah) dan saya dan saya juga mengambil kira senario politik yang ada pada hari ini.
"Apabila saya tengok pencalonan ditutup bahawa saya dan Tan Sri (Rafidah) dicalonkan untuk jawatan Ketua dan saya dan Datuk Kamilia untuk Naib, saya rasa terpanggil untuk membuat kenyataan untuk saya berbincang dengan Tan Sri (Rafidah) dan exco, boleh tak kita bersetuju untuk diselaraskan (peralihan kuasa) dengan badan induk, Pemuda dan Puteri.
"Tapi seperti yang saya kata, saya masih menghormati pelan peralihan kuasa," katanya.
Kamilia tidak menghadiri mesyuarat Exco yang diadakan semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan