HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 November 2008

Kontraktor Melayu terancam

Oleh AZMAN IBRAHIM


KUALA LUMPUR - Persatuan Kontraktor Elektrikal, Elektronik dan Mekanikal Melayu Malaysia (Perkem) menjangkakan lebih ramai kontraktor bumiputera dalam bidang mekanikal, elektrik dan elektronik (MEE) akan 'gulung tikar' sekiranya Malaysia mengalami kelembapan ekonomi pada tahun depan.

Sehingga kini, kontraktor utama MEE dianggarkan seramai 60,000 orang manakala subkontraktor seramai 7,500.

Lebih 80 peratus daripada kedua-dua kategori tersebut merupakan kontraktor bumiputera.

Presidennya, Mohsen Hasbollah berkata, keadaan itu akan bertambah teruk sekiranya ramai kontraktor bumiputera tidak berhati-hati dan tidak selektif dalam melaksanakan projek yang diterima masing-masing.

"Dari sudut keberkesanan, kontraktor bumiputera amat kurang dan dijangka akan lebih teruk sekiranya kerajaan secara berterusan mengurangkan bajet pelaksanaan projek dalam menangani kemelesetan ekonomi,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Perkem di sini, baru-baru ini.

Perkem ditubuhkan pada 15 Oktober 2002 dan sehingga kini mempunyai seramai 1,500 ahli.

Mohsen berkata, para kontraktor bumiputera perlu lebih gigih dan lebih kompetitif berbanding kontraktor bukan bumiputera.

Jelasnya, ini kerana projek yang ditawarkan sewaktu kegawatan ekonomi juga terhad dan kontraktor terbaik dan menawarkan harga yang terendah berjaya mendapat tender kontrak pembinaan dan kontrak-kontrak berkaitan.

Katanya, sewaktu kegawatan ekonomi, para kontraktor tidak perlu tamak untuk mendapatkan projek-projek yang mendatangkan keuntungan.

Macam syarikat saya sendiri, mendapat dua atau tiga projek setahun adalah memadai, namun, saya amat selektif supaya ia tidak menjadi projek terbengkalai,'' ujarnya.

Tiada ulasan: