MSTAR ONLINE
KUALA KANGSAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata beliau akur dengan apa sahaja keputusan Timbalan Yang Dipertua Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sama ada beliau perlu dirujuk atau tidak kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada Selasa ini kerana didakwa membuat kenyataan tidak benar dalam Dewan Rakyat.
Sebagai Anggota Parlimen, Mohamed Nazri berkata beliau wajar menerima sebarang keputusan dengan hati terbuka dan tidak berhak membantah keputusan berkenaan.
"Saya akur apa jua keputusan Timbalan Speaker. Saya seorang anggota Parlimen dan perlu hormati Timbalan Speaker, jangan pandai nak merujuk orang lain tetapi apabila kena pada diri sendiri tidak mahu akur dengan keputusan.
"Itu hak Timbalan Speaker (untuk membuat sebarang keputusan) dan keputusan itu nanti tidak akan menjejaskan tanggungjawab saya kerana banyak lagi kerja yang perlu saya jalankan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Mesra Rakyat di Kati di sini hari ini.
Berhubung kenyataan yang dibuat ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, katanya pada ketika itu beliau percaya kenyataannya adalah benar dan tidak berniat mahu memesongkan kenyataan di Parlimen apabila memperbetulkannya selepas menyedari kenyataan yang dibuatnya sebelum itu tidak benar.
Mohamed Nazri berkata situasi yang dihadapinya adalah berbeza dengan yang dihadapi oleh Karpal Singh yang digantung selama enam bulan oleh jawatankuasa sama pada September 2004 apabila Anggota Parlimen Bukit Gelugor pada masa itu 'melawan' Speaker Allahyarham Tun Mohamed Zahir Ismail berhubung isu angkat sumpah.
Menurutnya ketika itu jawatankuasa mendapati Karpal bersalah kerana cuba memesongkan Dewan dan membuat kenyataan palsu mengenai isu mengangkat tangan ketika upacara angkat sumpah Anggota Parlimen pada 17 Mei 2004.
"Waktu itu situasinya berbeza kerana dia kata dia betul tetapi Speaker kata dia (Karpal) bersalah dan dia masih 'melawan' Speaker, dan dia masih kata yang dia betul tetapi (dalam situasi sekarang) saya tidak nak lawan Speaker dan saya sendiri perbetulkan kenyataan saya," katanya.
Keputusan sama ada Mohamed Nazri perlu dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan berhubung kenyataan terbabit sepatutnya diumumkan Isnin lepas tetapi terpaksa ditangguhkan kerana beliau tidak hadir pada mesyuarat kerana mengikuti rombongan rasmi Perdana Menteri ke Uzbekistan, Kyrgystan dan Turkmenistan.
Pada 6 November lepas, Mohamed Nazri ketika mengumumkan pembayaran ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan lima hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lepas, berkata bekasbekas hakim itu bukannya dipecat tetapi telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti disarankan oleh satu panel.
Pada 10 Nov, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) meminta supaya Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa kenyataan menteri itu adalah satu pembohongan.
Pada 13 November, Mohamed Nazri semasa membetulkan kenyataannya berkata kesemua enam hakim yang terbabit dalam krisis kehakiman pada 1988 sebenarnya dipecat dan menerima pencen mereka atas dasar belas kasihan.
Beliau yang kesal turut berkata perkara berkenaan diketahui selepas menjalankan siasatan sendiri yang mendedahkan mengenai sepucuk surat yang menunjukkan bahawa Yang diPertuan Agong (pada masa itu) menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara dengan meminta kesemua mereka dibayar pencen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan