HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 November 2008

RM24 juta tubuh Pusat Kecemerlangan Badminton

Meor Hisham Zulkifli dan Norfatimah Ahmad


DATUK Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Pusat Kecemerlangan Badminton Negara membabitkan peruntukan RM24 juta untuk melahirkan bakat baru berpotensi maju dalam sukan itu - sekali gus memenuhi impian negara merangkul pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kelulusan projek dicadangkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu dibuat berdasarkan prestasi cemerlang sukan berkenaan di peringkat antarabangsa.

"Keputusan ini adalah pengiktirafan kerajaan kepada sukan ini dan saya sendiri ingin melihat pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik menerusi badminton.

"Umumnya jika sesuatu kejayaan yang dibawa, tentu akan ada pulangan sebagai balasan kerana kita mahu lihat sukan negara mencapai tahap lebih tinggi dengan usaha melahirkan pemain hebat pada masa depan," katanya selepas merasmikan Konvensyen Sukan Kebangsaan 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.

Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan, berkata tidak ada faktor khusus yang boleh menjamin sesebuah negara itu mampu memiliki atlit yang berjaya, kecuali pembabitan bersama antara kerajaan, masyarakat dan ibu bapa.

Beliau berkata, ekosistem yang selesa untuk anggota masyarakat membabitkan diri dalam bidang sukan juga perlu diberi perhatian kerana itu adalah antara faktor kejayaan Australia dalam bidang itu.

"Malaysia mampu menjadi negara sukan yang melahirkan juara dunia jika semua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Presiden BAM, Datuk Mohd Nadzmi Salleh yang mengalu-alukan pengiktirafan itu berkata pusat yang amat dinanti-nantikan bakal dilengkapi dua gelanggang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

"Gelanggang itu bakal dilengkapi dengan kamera berkelajuan tinggi serta peralatan lain bagi membolehkan kita mengkaji corak permainan pemain serta memperbaiki segala kelemahan mereka," katanya.

Beliau berkata, pusat berkenaan dibina di Taman Maluri, Cheras di atas tanah seluas kira-kira 4 ekar akan mempunyai kemudahan seperti sebuah akademi bagi membolehkan usaha memperluas program melahirkan atlit bertaraf dunia.

"Selain mempunyai kemudahan lengkap termasuk 30 gelanggang, gimnasium dan asrama, pusat ini juga diharap mampu menjana pendapatan sendiri bagi menampung kos membiayai segala program dijalankan di sini.

"Pusat ini juga akan muncul sebagai markas latihan kebangsaan untuk atlit negara selain mampu menawarkan kepada atlit luar yang berminat menyewa kemudahan di situ," katanya.

Tiada ulasan: