HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Januari 2009

Harga minimum padi ditetap RM1,000 satu tan

Oleh Azmi Md Deros


ALOR STAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menetapkan harga minimum padi bagi musim tuaian pertama 2009, RM1,000 satu tan meningkat RM50 berbanding pada musim lalu, kata Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, penetapan harga minimum itu dipersetujui oleh petani yang diwakili pemimpin Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan persatuan pengilang padi.

“Penetapan harga minimum itu dibuat selepas mengambil kira harga padi di negara serantau, termasuk Thailand, Vietnam dan Myanmar.

“Berdasarkan pada musim lalu, walaupun harga minimum ialah RM950 satu tan, ia naik sehingga mencecah RM1,150 satu tan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama majlis Permuafakatan Industri Padi dan Beras di sini, kelmarin.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil PPK, Padi Beras Nasional Bhd (Bernas), Persatuan Pengilang Beras Sino-Malay Bhd, Persatuan Pengilang Beras Kedah/Perlis dan Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia serta Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Mahdzir berkata, selain membincangkan mengenai harga padi, mesyuarat itu turut menyentuh mengenai kualiti padi, kuota dan lesen pembelian padi serta subsidi kerajaan.

Katanya, selepas ini majlis permuafakatan itu akan bermesyuarat dengan pengusaha jentera pembajak dan jentera menuai pula.

Sementara itu, beliau berkata, Mada dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sudah melaksanakan projek menaik taraf jalan ladang di empat wilayah kawasan Mada bernilai RM34 juta.

“Fasa pertama dan kedua projek itu dilaksanakan serentak membabitkan kerja menaik taraf dan menurap jalan sepanjang 129 kilometer dan ia mengambil masa 40 minggu untuk disiapkan.

“Projek itu dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui NCIA dengan Mada sebagai pihak yang menguruskan aspek teknikal," katanya.

Selain itu, beliau berkata, NCIA juga akan melaksanakan dua projek pembinaan pintu air di Terusan Arau, Perlis dan Alor Changlih di Kubang Pasu membabitkan peruntukan RM10 juta.

"Projek itu bertujuan meningkatkan infrastruktur pengairan di kawasan sawah berhampiran," katanya.

Tiada ulasan: