BERITA HARIAN ONLINE
PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan harga runcit petrol dan diesel dikekalkan berikutan tiada perubahan ketara harga dua bahan bakar itu di pasaran dunia ketika ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata tiada cadangan mengubah harga bahan bakar itu dalam tempoh terdekat selepas diturunkan 10 sen seliter pada 16 Disember lalu.
"Kiraan purata minyak mentah dunia pada akhir Disember lalu AS$41 (RM143.5) setong dan tidak banyak berbeza pada pertengahan bulan sama iaitu ketika kita membuat keputusan diturunkan 10 sen bagi setiap liter.
"Sebenarnya, kadar sepatutnya diturunkan ialah 5 sen saja ketika kadar minyak mentah AS$43 setong, tetapi kerajaan menurunkan 10 sen menjadikan harga petrol RM1.80 seliter.
"Kita tidak nampak kemungkinan sebarang kenaikan atau penurunan harga runcit petrol dalam bulan ini," katanya selepas Perhimpunan Tahun Baru dan Amanat Menteri di kementeriannya di sini, semalam.
Beliau mengulas sama ada kerajaan akan menurunkan lagi harga bahan bakar itu dalam tempoh terdekat. Harga runcit petrol dan diesel diturunkan kali pertama pada 23 Ogos tahun lalu, sebelum dikurangkan kali kedua pada 24 September dan sekali lagi pada 15 Oktober.
Mengikut formula penyelarasan bahan api ditetapkan sebelum ini, harga runcit petrol dan diesel ditetapkan setiap awal bulan berdasarkan purata bulanan harga minyak mentah dunia.
Penurunan harga sebelum ini membabitkan harga runcit petrol RON97 daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30, manakala petrol RON92 daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20.
Harga diesel pula diturunkan turun daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20 seliter.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan