Oleh G.MANIMARAN dan ZANARIAH ABD MUTALIB
TAIPING: Kira-kira 40 peratus telah keluar mengundi di kawasan Parlimen Bukit Gantang dan Bukit Selambau sehingga tengah hari ini.
BERITA TERDAHULU
Walaupun kempen pilihan raya kecil berakhir tengah malam tadi, sebenarnya parti-parti yang bertanding telah berkempen sejak lebih dua bulan. Cuma calon-calon Bebas tidak mengambil selama tempoh diambil oleh parti-parti tradisional seperti Barisan Nasional (BN).
Rata-rata kesemua pihak yang berhasrat untuk bertanding di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai telah memulakan kempen masing-masing secara tidak langsung sejak awal Februari lalu.
Pilihan raya kecil kali sebenarnya telah mencatatkan sejarah sendiri dan bakal mencatatkan sejarah sendiri menjelang tengah malam ini. Antara lain disebabkan:
Pertama: Tiga pilihan raya kecil diadakan serentak, kali pertama dalam tempoh dua dekad lamanya.
Kedua: Kekosongan di dua bahagian pilihan raya iaitu Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau berlaku pada hari yang sama dan disusuli dengan Batang Ai.
Ketiga: Paling ramai calon yang bertanding dalam mana-mana pilihan raya sama ada umum ataupun kecil. Seramai 15 calon termasuk 12 calon Bebas turun gelanggang di Bukit Selambau.
Keempat: Kesemuanya 20 calon bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini.
Kelima: Bekas Menteri Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bertanding di Bukit Gantang dan PAS melihat ia sebagai satu referendum rakyat terhadap kerajaan BN berhubung krisis politik.
Keenam: Pilihan raya kecil pertama selepas Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri.
Ketujuh: Pilihan raya kecil pertama selepas Datuk Dr Zambry Abdul Kadir menerajui kerajaan negeri Perak pimpinan BN.
Kelapan: Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad turut turun gelanggang membantu calon BN - kali pertama sejak pilihan raya umum ke-11 tahun 2004.
Kesembilan: Kali pertama sejak 1982 BN menurunkan calon tempatan bertanding di Bukit Gantang.
Kesepuluh: Pilihan raya kecil di bahagian Parlimen Bukit Gantang yang salah seorang ADUNnya keluar Pakatan Rakyat.
Mengambil kira aspek-aspek berkenaan pilihan raya kecil ini dilihat sangat bagi kedua-dua Pakatan Rakyat dan BN yang bertanding.
Pakatan Rakyat telah memenangi dua pilihan raya kecil sebelum ini.
BN tidak mahu membiarkan Pakatan Rakyat dan membuat hatrick. BN pula menyasarkan kemenangan di kesemua tiga pilihan raya kecil ini.
Difahamkan BN berpeluang cerah menang di Batang Ai tetapi hadapi saingan sengit di Bukit Selambau dan Bukit Gantang.
BERITA TERDAHULU
Pilihan raya kecil: Gelanggang dibuka 98,000 mula mengundi
Lebih 98,000 pemilih keluar mengundi pagi ini dalam tiga pilihan raya kecil serentak - masing-masing satu di Perak, Kedah dan Sarawak - yang telah pun mencipta sejarah tersendiri dalam sistem pilihan raya negara ini.
Proses pengundian bermula pukul 8 pagi dan akan ditutup pukul 5 petang.
Tiga kawasan yang terlibat ialah bahagian Parlimen Bukit Gantang dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Selambau dan Batang Ai.
Kesemua 20 calon bertanding iaitu 15 di Bukit Selambau, tiga di Bukit Gantang dan dua lagi di Batang Ai.
Kempen selama sembilan hari yang bermula 29 Mac lalu berakhir tengah malam tadi.
BUKIT GANTANG
Di kawasan Bukit Gantang, hanya calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian yang layak mengundi dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang hari ini.Beliau akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Gantang, Changkat Jering sekitar pukul 8 pagi.
Calon PAS, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bukan merupakan pengundi di Bukit Gantang tetapi di kawasan Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang di bawah kawasan Parlimen Lumut.
Calon Bebas pula, Kamarul Ramizu Idris langsung tidak mendaftar sebagai pengundi di mana-mana kawasan.
Terdapat 55,562 pengundi berdaftar di Bukit Gantang, termasuk 136 pengundi pos.
Sebanyak 32 tempat mengundi disediakan untuk pilihan raya kecil di kawasan ini.
Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum daripada PAS awal Februari lalu akibat serangan jantung.
Pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, Roslan memenangi kerusi berkenaan setelah menewaskan calon BN Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dengan majoriti 1,566 undi dan calon Bebas M. Mohganan.
Jumaat lalu, anggota polis yang berdaftar sebagai pengundi pos di kawasan Parlimen Bukit Gantang telah mengundi.
Mereka adalah sebahagian besar daripada 136 pengundi pos dalam senarai pemilih yang berjumlah 55,562 yang layak mengundi untuk pilihan raya kecil itu hari ini.
Selain itu, katanya, seramai 197 petugas pilihan raya akan juga mengundi secara pos Jumaat ini di bilik gerakan pilihan raya kecil itu di sini dan ejen-ejen calon telah juga dimaklumkan mengenai urusan itu.
Antara mereka itu ialah ketua tempat mengundi, kerani pengundian dan pemandu arah.
BATANG AI
Dalam pada itu, pilihan raya kecil Batang Ai diadakan dengan 8,006 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Malcolm Mussen Lamoh dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang.Kerusi itu kosong berikutan kematian wakil rakyat BN Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Februari lalu.
Pengundian di kawasan Batang Ai juga dimulakan pukul 8 pagi tetapi di beberapa kawasan pengundian akan ditutup selepas dua jam dibuka secara berperingkat-peringkat.
BUKIT SELAMBAU
Sementara itu, pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau mencatatkan sejarah dengan 15 calon yang akan bertanding.
Sebanyak 13 daripada 15 calon yang bertanding adalah calon Bebas manakala calon BN diwakili Datuk S. Ganesan dan PKR meletakkan muka baru S. Manikumar.
Calon-calon bebas ialah R.Loganathan, Tan Hock Huat, Radzi Md Lazim, Mohd Fadzil Abdul Wahab, Abdul Rahim Abu, L. Sarala, A. Jayagopal, S. Moganakumar, Khamis Awang, Husaini Yaacob, M. Vanesan, Mejar (B) Anuar Abd Hamid dan T. Chandrarajan.
Keputusan bagi ketiga-tiga kawasan dijangka diketahui antara 9 dan 11 malam.
Perkembangan di Batang Ai dijangka diketahui lebih awal berbanding Bukit Gantang dan Bukit Selambau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan