HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 April 2009

'GLC S'gor tidak bayar anak saya'

MALAYSIA KINI
(dikemaskini)


Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menafikan anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) membayar kos lawatan anak-anak dan pembantu rumahnya ketika lawatan ke luar negara, termasuk dua Disneyland.

"Tidak benar PNSB diarahkan membayar perjalanan anak-anak dan pembantu rumah saya ke mana-mana lawatan kerja saya," kata bekas menteri besar itu.

"Seingat saya tiada satu pun perjalanan anak-anak saya dan sesiapa sahaja yang tidak layak mendapat pembiayaan menggunakan wang PNSB mahu pun wang kerajaan.

"Jika ada berlaku kekhilafan maka saya bersedia bayar balik."

Jelasnya lagi, beliau membayar secara langsung kepada agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan ke Perancis dan Maghribi.

"Malahan agensi pelancongan tersebut juga mengesahkan bahawa ia tidak melakukan sebarang tuntutan bayaran atas nama anak-anak saya dan pembantu rumah seperti yang didakwa," kata Dr Mohamad Khir.

Menulis di blog peribadinya semalam, ADUN Sungai Panjang menambah, siasatan awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) DUN Selangor bertujuan memburuk-burukkannya, "tanpa berminat mencari kebenaran."

Enggan hadir

Dr Mohamad Khir enggan hadir di pendengaran awam itu yang ditubuhkan sejak minggu lalu bagi menyiasat penggunaan dana GLC dalam kegiatan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) - waktu itu diketuai isterinya Zaharah Kechik.

Kelmarin, Selcat diberitahu pemimpin Umno itu membelanjakan hampir RM1.6 juta untuk lawatan ke luar negara bersama ahli keluarga dan pegawai negeri.

Bagaimanapun tidak jelas sama adan PNSB membayar kos lawatan anak-anak dan pembantu rumahnya.

Tempat-tempat yang dilawatinya untuk "tujuan teknikal" itu termasuklah Disneyland Orlando dan Hawaii (Amerika Syarikat).

Dr Mohamad Khir juga mendakwa siasatan awam itu tidak mendedahkan kenyataan sebenar, dan menjelaskan bahawa jumlah RM200,000 untuk lawatan ke sebuah negara jiran.

"Misalnya, dalam lawatan ke Indonesia yang dikatakan mencecah hampir RM 200 ribu. Jika saudara dapat membaca laporan PNSB ketika itu, hampir 63 orang delegasi turut serta. Malangnya ini tidak pula diperincikan dalam sidang Selcat tersebut," katanya dalam artikel 'Selcat: Alat mencari kebenaran atau serangan peribadi?' lagi.

Lawatan ke Yogyakarta, Solo dan Jakarta turut disertai exco kerajaan Selangor, timbalan speaker DUN, ADUN dan ahli-ahli parlimen negeri itu serta pegawai PNSB, tambahnya.

Sekadar makan angin

Dr Mohamad Khir bertegas menafikan lawatan-lawatan ke luar negara itu "sekadar makan angin" seperti dakwaan seorang anggota Selcat, Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) dan sebaliknya mendakwa ia dibuat semata-mata untuk memajukan Selangor, termasuk membina satu taman tema di pantai Bagan Lalang.

"Lawatan-lawatan yang diadakan pula bukan sekadar makan angin, sebaliknya ia memberi peluang ramai pegawai dan perancang pembangunan mendapat ilmu baru termasuk dalam pengurusan sungai, air dan pembangunan perbandaran baru untuk Lembah Klang Kedua.

"Setiap lawatan ini kemudiannya disusuli laporan kepada mesyuarat exco mengenai keberkesanan dan hasil-hasil lawatan ini," kata bekas menteri besar itu lagi.

"Fakta bahawa ia merupakan perjalanan yang mempunyai kepentingan ekonomi dinafikan. Sebaliknya apa yang mahu tunjukkan hanyalah kononnya saya menghabiskan duit rakyat membawa keluarga bercuti."

Beliau juga menuduh laporan media berhubung keterangan dalam siasatan Selcat "jelas ingin memburukkan namanya."

Dr Mohamad Khir turun menafikan perjalanan isterinya ke Australia untuk melawat anaknya menggunakan wang kerajaan negeri.

"Dakwaan bahawa PNSB membiayai perjalanan isteri saya ke Australia untuk melihat anak saya juga adalah tidak benar sama sekali. Saya membayar sendiri kos perjalanan isteri saya ke sana,"

"Selcat tidak sepatutnya 'menyumbat' kenyataan ke dalam mulut pegawai PNSB sehingga mengelirukan umum," katanya.

"Jika benar PNSB membayar perjalanan isteri saya ke Australia atas kepentingan peribadi sila tunjukkan bukti dan buat laporan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)."

Lembu, kereta MB

Maklumat kontroversi ini diperolehi sewaktu Selcat merekodkan keterangan ketua pegawai eksekutif GLC itu, Khairiyah Abu Hassan yang pernah mengakui mempunyai hubungan baik dengan Zaharah.

Dr Mohamad Khir kemudian membidas siasatan ini dengan mendakwa ia diadakan bagi menutup tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung penyerahan lembu korban di kawasan parlimennya sendiri di luar Selangor dan kontroversi penyenggaraan kereta peribadinya.

"(Siasatan) ini semua dilakukan hanyalah untuk menghalalkan tindakan Tan Sri Khalid menyalahgunakan kuasanya menggunakan wang anak syarikat kerajaan negeri untuk kepentingan politik beliau di Bandar Tun Razak (skandal lembu korban) dan tindakan beliau membuat tuntutan wang kerajaan negeri untuk tinted (cermin gelap) kereta peribadinya," katanya.

Selain menegaskan tidak bersalah, berdasarkan keterangan Selcat itu, kata Dr Mohamad Khir, tidak kelihatan beliau bersalah.

"Memang benar lawatan teknikal PNSB nampak besar jumlahnya berbanding penyelewengan Tan Sri Khalid.

"Namun ia tidak sama langsung kerana yang satu mengikut peraturan, manakala yang satu lagi melanggar peraturan," katanya.

Tiada ulasan: