MALAYSIA KINI
Umno menyifatkan gabungan pembangkang "keras kepala" apabila tidak mengendahkan larangan polis agar tidak membangkitkan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan keputusan Sultan Perak semasa berkempen dalam pilihanraya kecil sekarang.
"Isu ini ada kaitan dengan kes mahkamah yang sedang berjalan. Sebenarnya tidak boleh menggunakan isu ini tetapi pembangkang memilih untuk bersikap berdegil dan meneruskan isu ini.
"Ini menunjukkan mereka bersikap keras kepala dan tidak mempedulikan undang-undang, sikap pembangkang ini perlu dinilai oleh rakyat.
"Mereka (pembangkang) akan menggunakan apa sahaja perkara, asalkan mereka dapat sokongan," Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dipetik berkata hari ini.
Bercakap selepas program bersama rakyat di Kampung Larut Tin dalam kawasan parlimen Bukit Gantang, beliau berkata kedegilan pembangkang itu boleh menyebabkan mereka didakwa menghina mahkamah, lapor Bernama.
Selain Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak juga sedang menghadapi pilihanraya kecil dari Ahad hingga 7 April.
Di kawasan parlimen itu, calon BN Ismail Saffian berdepan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) dan Khairul Ramizu Idris (bebas).
Muhammad juga dilaporkan berkata pembangkang melemparkan tuduhan tidak berasas dengan mendakwa "kerajaan BN zalim" menerusi kain rentang, poster dan bahan kempen lain dan menyifatkannya "perbuatan yang melampau".
Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan larangan mengejut kepada parti-parti bertanding di tiga kawasan pilihanraya itu agar tidak mengulas isu pembunuhan wanita Mongolia itu dan keputusan kontroversi Sultan Perak memecat Mohammad Nizar, waktu itu menteri besar Pakatan Rakyat.
Timbalan pesuruhjaya PAS Perak, Asmuni Awi semalam menegaskan, parti itu tidak akan akur arahan KDN itu.
Dalam perkembangan berkaitan, ketua polis negara menafikan larangan tersebut dan seterusnya menyalahkan pegawai polis daerah Taiping yang mengeluarkannya, 30 Februari lalu.
Tan Sri Musa Hassan menegaskan, arahan polis itu merujuk ulasan yang boleh dianggap subjudis atau mencampuri urusan mahkamah bagi kes-kes perbicaraan yang sedang berjalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan