HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 April 2009

Kemenangan PR mesej buat BN

SINAR HARIAN


BANDAR TUN RAZAK – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memastikan kemenangan di ketiga-tiga kawasan pilihanraya yang bakal diadakan pada 7 April ini bagi membuktikan kepada Barisan Nasional (BN) bahawa perjuangan Pakatan Rakyat (PKR) masih relevan dan diterima rakyat.

Ketua Penerangan PKR Wilayah Persekutuan, Ishak Hamzah berkata, melihat daripada sokongan dan kerjasama semua pihak khususnya masyarakat di peringkat akar umbi PR mampu mencapai kemenangan terutamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan Parlimen Bukit Gantang.

“Sokongan yang berterusan masyarakat di kawasan berkenaan kepada PR memperlihatkan kita mampu menang dalam pilihanraya yang akan diadakan dan memberi mesej kepada BN.

“Kita mahu BN sedar bahawa perjuangan PR berada di landasan yang betul untuk memperjuangkan nasib rakyat dan kita akan meneruskan perjuangan berkenaan walaupun ditekan oleh BN,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas mengenai pilihanraya yang akan diadakan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya akan menggunakan pendekatan mendekati rakyat di peringkat akar umbi dengan memperjelaskan mengenai perjuangan parti dalam kempen pilihanraya yang akan berlangsung.

Beliau juga menafikan dakwaan yang mengatakan kononnya sokongan masyarakat India di Bukit Selambau terhadap PR semakin menurun.

“Kita akan lebih kerap turun ke akar umbi untuk menerangkan mengenai perjuangan PR terhadap isu keadilan dan masa depan negara melalui ceramah dan edaran yang akan dilakukan.

“Kita masih mendapat sokongan di sana, di Bukit Gantang juga kita mendapat kerjasama yang baik dari masyarakat Cina walaupun Pas yang akan mengetuai kempen pilihanraya di sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian PKR Bandar Tun Razak, Azman Abidin berkata, pihaknya mempunyai peratusan yang sama untuk memenangi kerusi di Batang Ai kerana BN menggunakan taktik kotor.

Bagaimanapun katanya, beliau yakin dengan kerja keras dan kempen yang dilakukan tidak mustahil PR mampu mengalahkan BN dalam pilihanraya berkenaan.

“Di Batang Ai peluang untuk menang adalah 50-50 kerana BN menggunakan taktik kotor dengan mengugut ketua rumah panjang dan menakut-nakutkan penduduk di sana supaya memilih calon mereka.

“Namun dengan kesedaran pengundi dan kerja keras, saya yakin pengundi akan memberi peluang kepada PR memenangi kerusi berkenaan," katanya.

Tiada ulasan: