HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 April 2009

MB, KM 'automatik' dapat jawatan MT: Umno Kangar sokong cadangan Ali

KLPOS.COM


KANGAR: Umno Bahagian Kangar menyokong penuh cadangan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, supaya perlembagaan Umno dipinda bagi membolehkan Menteri Besar dan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri, dilantik secara automatik ke jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT).

Malah, amalan parti yang menentukan Menteri Besar atau Ketua Menteri sesebuah negeri dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri oleh Presiden juga digesa diperkasakan bagi memastikan konsep parti menguasai kerajaan yang dilaungkan sebelum ini dapat diterjemah dan dipraktikkan.

Setiausaha Umno Bahagian Kangar, Aziz Had, dalam satu kenyataan, berkata pelantikan ke jawatan MT secara automatik dapat mengelak daripada penyertaan Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam perebutan kerusi yang terhad, yang secara tidak langsung akan memberi ruang dan peluang yang lebih kepada calon lain bagi memenangi tempat disediakan.

"Justeru, Menteri Besar dan Ketua Menteri juga tidak perlu bersaing wakil pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri termasuk bergantung dengan kuota pelantikan sebagai ahli MT oleh Presiden yang terhad iaitu maksimum 12 orang.

"Malah, pelantikan secara automatik ini juga akan menjadi simbol pengiktirafan kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri, sebagai pemimpin utama parti di peringkat negeri," katanya.

Mengenai pelantikan Menteri Besar atau Ketua Menteri ke jawatan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Aziz berkata, ia penting kerana jawatan Pengerusi Umno negeri menjadi penghubung antara Umno pusat dan Umno negeri.

Beliau berkata, andai mereka tidak menduduki barisan MT dan terbabit dalam pembuatan dasar dan keputusan politik sesebuah negeri yang mereka ketuai, sudah tentu ia akan menimbulkan masalah, khususnya dari segi pelaksanaan keputusan yang dibuat.

"Justeru, saya mewakili Umno Bahagian Kangar berharap cadangan terbabit dapat difikirkan secara serius oleh Presiden Parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan saf kepimpinan parti yang baru dipilih untuk dipertimbangkan, sekali gus dibawa untuk dibahas dan diluluskan semasa Persidangan Agung Khas nanti," katanya.

Persidangan Agung Khas seperti disuarakan Presiden parti, baru-baru ini akan diadakan untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan perwakilan di peringkat bahagian yang dianggarkan seramai 60,000 orang, memilih terus barisan MT.

Tindakan terbabit dilihat wajar dan lebih telus berbanding sebelum ini (Perhimpunan Agung Umno) di mana hanya segelintir kecil perwakilan membuat pilihan, yang mungkin tidak menepati kehendak dan keputusan mesyuarat perwakilan bahagian. / BHM

Tiada ulasan: