SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – Tindakan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memansuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) menunjukkan berlakunya lebihan kementerian.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perin-dustrian dan Perdagangan Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok Suh Sim berkata, langkah berkenaan diambil bagi mengurangkan jumlah kementerian dalam keadaan ekonomi yang semakin tenat.
“Pemansuhan berkenaan memperlihatkan kementerian tersebut tidak penting di mata beliau (Najib), pastinya terdapat sebab mengapa MeCD dimansuhkan, salah satunya mungkin disebabkan terdapatnya lebihan.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak menghalang pemansuhan kementerian berkenaan kerana ia tidak mendatangkan masalah besar kepada kerajaan negeri sebaliknya apa yang kami mahu, Najib memberi penjelasan dan penerangan MeCD diserap di bawah kementerian apa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai langkah kerajaan persekutuan memansuhkan MeCD dan kesemua agensi di bawahnya diserapkan ke dalam dua kementerian lain iaitu, Kementerian Kema-juan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Industri.
Pengumuman peman-suhan MeCD mendapat pelbagai reaksi daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan usahawan khususnya Bumi-putera dalam memperjuangkan nasib golongan berkenaan.
Kelmarin, Pertubuhan Pribumi Perkasa menyuarakan rasa dukacita berhubung pembubaran MeCD oleh kerajaan awal April lalu dan mendesak kerajaan mewujudkan kembali kementerian berkenaan yang memberikan banyak manfaat kepada kaum peribumi di negara ini.
Terasa berkata, sekiranya pemansuhan berkenaan diteruskan, kerajaan seharusnya memberikan penerangan dan penjelasan mengenai kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk memantau para usahawan dan koperasi.
Katanya, langkah berkenaan penting untuk mengelakkan berlakunya kekeliruan di kalangan agensi yang terlibat dan berada di bawah MeCD dan memastikan agensi berkenaan tidak dibiarkan tanpa pemantauan.
“Sekiranya pemansuhan berkenaan diteruskan, kami minta kerajaan persekutuan mengumumkan dan memberi penjelasan kementerian manakah yang bertanggungjawab mengambil alih peranan MeCD.
“Jika tidak ia menimbulkan kekeliruan di kalangan usahawan dan agensi di bawahnya mengenai status mereka, sebagai contoh, Perbadanan Kemajuan Ne-geri Selangor (PKNS) sebelum ini dipantau oleh MeCD tetapi kini keliru mengenai siapakah yang akan memantaunya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemo-denan Pertanian, Pengu-rusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, kerajaan seharusnya lebih memperkasa program yang melibatkan usahawan.
Katanya, kerajaan perlu menyediakan insentif lain yang lebih fokus dan prihatin kepada usahawan dalam usaha bagi memastikan mereka dapat berdiri dengan kukuh terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Apa yang penting adalah untuk memperkasa program melibatkan usahawan, sebelum ini usahawan yang berada di bawah MeCD juga dilihat bersepah mengikut kementerian kerana setiap satu darinya mempunyai program masing-masing.
“Usahawan seharusnya diperkukuhkan lagi, dan kerajaan persekutuan perlu mencari insentif lain dengan menubuhkan satu kementerian yang lebih menjurus kepada usahawan dan menjaga kepentingan mereka,” kata beliau lagi.
Menurutnya, kerajaan juga perlu mengambil berat nasib usahawan industri kecil dan sederhana dan semua pihak menuntut penjelasan kerajaan berhubung kementerian yang akan menggantikan peranan MeCD.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan