SINAR HARIAN ONLINE
KAJANG – Sejenis produk kesihatan hasil rumusan dua warga asing kononnya saintis didapati mengandungi sildenafil iaitu bahan utama bagi Viagra telah dirampas bernilai setengah juta ringgit di Sungai Chua semalam.
Serbuan ini dibuat Bahagian Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesi-hatan diketuai Timbalan Pengarahnya, Wan Hamid Wan Ibrahim setelah berjaya memperoleh maklumat bahawa kilang ini telah beroperasi secara haram.
“Hasil kajian makmal makmal Kementerian Kesi-hatan, produk kesihatan terbabit mengandungi sildenafil dan telah berleluasa berada di pasaran sejak setahun lalu.
“Lebih 100,000 paket makanan kesihatan dan kira-kira 250 kilogram serbuk yang mampu menghasilkan setengah juta paket barangan sama dirampas di sini dan sebuah lagi kilang yang terletak Kuchai Lama,” katanya.
Menurutnya, ketika serbuan, kedua-dua kilang tersebut sedang beroperasi memproses dan membungkus produk kesihatan yang dijual kira-kira RM3 sebungkus.
“Hasil pemeriksaan menemui 10 tong penuh berisi serbuk makanan kesihatan yang baru siap diproses sebelum dibungkus.
“Rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000 berdasarkan sejumlah serbuk dipercayai sildenafil ditemui yang menyamai lebih 200,000 bungkus jika siap diproses,” kata beliau.
Menurut Wan Hamid, dua lelaki warga asing yang dipercayai bertindak sebagai ‘saintis’ melarikan diri apabila menyedari pihak berkuasa sampai di lokasi mereka.
Kata beliau, sildenafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor dan dos tertentu.
“Penggunaan tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan serius terutama yang bermasalah jantung. Ia juga boleh menyebabkan masalah pernafasan, tekanan darah rendah dan sehingga membawa kepada maut,” katanya.
Siasatan dilakukan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan