MSTAR ONLINE
KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) berkemungkinan tidak akan meletakkan calon bertanding pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti jika mendapat konsensus semua parti komponen BN.
Pengerusi BN itu berkata, BN perlu melihat terlebih dahulu sama ada pilihan raya kecil itu menguntungkan rakyat atau sebaliknya.
"Tak tahu lagi (sertai atau tidak) kita tengok dulu tapi saya tak ketepikan apa juga kemungkinan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Meraikan Perdana Menteri peringkat Parlimen Pekan di sini hari ini sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada 3 April lepas.
Sehubungan itu, Najib yang juga Presiden Umno berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Majlis Tertinggi (MT) Umno dan bertemu dengan presiden-presiden parti komponen BN bagi membincangkan perkara itu.
"Saya akan bawa perkara ini kepada mesyuarat MT akan datang, kalau tak sempat saya akan bawa kepada Biro Politik, dan juga bincang dengan presiden-presiden parti komponen BN," katanya.
Banyak pihak mengesyorkan agar BN tidak meletakkan calon bersaing di Penanti atas beberapa alasan.
Ini termasuklah bagi mengelakkan pembaziran wang dan masa. Sejak pilihan raya umum Mac 2008, negara telah menyaksikan lima pilihan raya kecil termasuk penggunaan wang lebih RM30 juta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis untuk mengendali dan memastikan kelancaran pilihan raya kecil.
Najib berkata, BN akan sepakat berhubung pilihan raya kecil itu.
"Sebab kita perlu kuat kata sepakat, dalam hal ini jelas sekali ini satu mainan politik mereka (pembangkang), dengan tujuan mereka itu kita dapat mengesannya.
"Ini bukan sebab peruntukan Perlembagaan Negara, kalau disebabkan perlembagaan negara, kita tetap hormati," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya kecil yang sebenarnya tidak perlu diadakan.
Najib menekankan bahawa pilihan raya kecil itu sepatutnya hanya diadakan apabila seseorang wakil rakyat itu meninggal dunia.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi menentukan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti di Pulau Pinang ekroan keputusan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan kelmarin.
"Peletakan jawatan ini merupakan keputusan politik dan boleh disifatkan sebagai mainan politik untuk tujuan tertentu. Jadi rakyat pada umumnya tidak suka pilihan raya kecil yang sengaja diadakan," kata Najib.
Malah semalam, Najib juga berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan selain daripada kematian, sebab-sebab lain yang membolehkan pilihan raya kecil diadakan ialah jika seseorang ADUN dan Ahli Parlimen itu diisytiharkan bankrap atau tidak berupaya untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya kerana faktor-faktor tertentu.
Bagaimanapun, beliau berkata meletak jawatan adalah bertentangan dengan konsep demokrasi berparlimen.
Khamis lepas, Mohammad Fairus mengumumkan peletakan jawatan sebagai ADUN Penanti.
Mohammad Fairus, 32, yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, berkata langkah beliau itu adalah bagi membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan