HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 April 2009

Prinsip 6M diperkenal bagi kemudi agensi Islam

Oleh Mohd Hamizar Hamid


PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, menetapkan prinsip '6M' sebagai panduan untuk mengemudi sesebuah agensi agama Islam supaya berwibawa, mantap dan muncul sebagai organisasi yang serba boleh.

Beliau berkata, enam prinsip berkenaan ialah musyaratah (menepati syarat kejayaan), mua'tabah (menghakis sifat buruk), mu'aqabah (mengekalkan tindakan benar secara berterusan), muraqobah (mengawal diri secara berterusan), muhasabah (menilai diri) dan mujahadah (berusaha bersungguh-sungguh).

Katanya prinsip musyaratah bermaksud mewujudkan penanda aras bagi melahirkan pasukan yang beriltizam tinggi dalam membentuk pemikiran yang berilmu, matang serta berwawasan untuk cemerlang.

"Menerusi prinsip pertama itu juga sebarang pertembungan pendapat yang boleh membawa kepada hala tuju yang kabur serta menggugat kesepaduan matlamat perlu dihindar," katanya pada sidang media selepas majlis Amanat dan Wawasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Jamil Khir berkata, prinsip mua'tabah pula adalah usaha menghakis sikap buruk untuk melahirkan kakitangan yang berketerampilan dari segi hala tuju selain mempunyai matlamat jelas dalam melaksanakan tugas.

"Prinsip mu'aqabah pula adalah pengekalan tindakan yang benar secara berterusan dalam usaha menggalakkan kakitangan yang menguruskan hal ehwal Islam yang berdaya saing," katanya.

Jamil Khir berkata, kakitangan agensi agama Islam juga perlu mengamalkan prinsip muraqobah supaya mereka menyedari setiap tindakan perlu berada pada landasan ditetapkan.

"Selain itu, muhasabah diri sebagai prinsip kelima penting untuk menilai prestasi diri. Ia mampu menilai sama ada kerja kita menepati piawaian ditetapkan atau sebaliknya, justeru kita perlu menerima semua teguran dan penilaian secara terus demi kebaikan organisasi keagamaan," katanya.

Menerusi prinsip keenam iaitu mujahadah, Jamil Khir berkata, setiap kakitangan perlu berusaha bersungguh-sungguh bersandarkan kekuatan dan ketabahan untuk mencapai matlamat ditetapkan.

Tiada ulasan: