SUARA KEADILAN
KUALA LUMPUR - SPEAKER Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, V Sivakumar akan menulis surat kepada Sultan Perak berhubung dengan arahan yang dikeluarkan oleh Abdullah Antong untuk memangil sidang Dewan Negeri Perak.
Menurut Sivakumar dalam kenyataanya hari ini, Abdullah telah memanggil sidang Dewan pada 7 Mei depan namun beliau tidak mendapat sebarang pengesahan dari Istana untuk mengadakan sidang Dewan.
“Saya tidak ditunjukkan apa-apa bukti tentang penetapan tarikh persidangan oleh Istana. Oleh yang demikian, tarikh persidangan itu mungkin perlu ditangguhkan sehingga saya mendapat kepastian tentang tarikh tersebut,” katanya dalam kenyataan terbabit.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Abdullah yang memanggil sidang Dun tanpa mendapat persetujuan dari Speaker sedangkan Abdullah telah dipecat pada 3 Mac lalu dan digantikan dengan Setiausaha Dun yang baru.
“Perkara ini tidak dirunding dengan saya terlebih dahulu. Saya tidak mengetahui tentang tarikh itu sehingga saya diberitahu oleh Adun yang lain.
“Saya telah mengantung tugasnya sebagai setiausaha Dewan Negeri sebelum persidangan ‘bawah pokok’ yang dibuat pada 3 Mac 2009,” katanya lagi.
Tambah Sivakumar lagi, arahan untuk memanggil sidang Dun sepatutnya dikeluarkan olehnya namun apa yang terjadi di Perak ialah beliau sendiri selaku speaker menerima notis untuk hadir sidang sepertimana yang diterima Adun.
“Adakah ini merupakan usaha-usaha untuk memperkecilkan atau memperbodohkan institusi Speaker? Pada pandangan saya, ini merupakan satu lagi tindakan untuk menghina Speaker Dewan Negeri,” katanya lagi.
Mengulas mengenai perkara ini, beliau mempersoalkan adalah Speaker Dewan Rakyat, Pandekar Amin akan berdiam diri sekiranya Setiausaha Dewanya mengeluarkan notis untuk memanggil Dewan Rakyat bersidang tanpa berunding.
“Apa gunanya institusi Speaker apabila semua keputusan dibuat oleh Pihak yang lain. Ini merupakan campurtangan eksekutif yang nyata. Sekali lagi doktrin pengasingan kuasa dicabuli,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan