HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Mei 2010

PKR bersedia untuk disabotaj


Partai_Keadilan_Rakyat_logo_1 Oleh staf FMT


Kongres Nasional PKR

KOTA BHARU: Penganjur Kongres Nasional PKR yang bermula Jumaat ini bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berikutan khabar angin yang bertiup kencang mengenai perbuatan sabotaj oleh bekas-bekas ahli dan Umno yang berniat jahat.

Timbalan Pengerusi Biro Perhubungan PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir berkata, "kami mendengar khabar angin tersebut adanya percubaan untuk mensabotaj kongres ini oleh bekas ahli PKR."

"Kami ambil perhatian tentang khabar angin ini. Pegawai-pegawai pentadbiran dan fasilitator kami sedar tentang hal ini. Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga dan sudah bersedia," kata beliau yang juga ahli parlimen Ketereh.

Penghijrahan keluar beramai-ramai telah mencemar kebangkitan dinamik Parti Keadilan Rakyat sebagai sebuah parti pembangkang sejak pilihan raya umum (PRU12) Mac 2008.

Pada PRU12 itu, gabungan Pakatan Rakyat (PR) termasuk parti PAS dan DAP berjaya menawan lima negeri dari penguasaan Barisan Nasional (BN) yang kini berusia lebih 50 tahun itu.

Sejak itu, PR telah kehilangan Perak dalam satu rampas kuasa oleh BN apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR, Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan seorang ADUN DAP, Hee Yit Foong (Jelapang)
melompat parti.

Berikutan dari peristiwa itu, lapan lagi ADUN PKR dan ahli-ahli parlimen telah bertindak keluar parti. PKR kini sedang menghadapi masalah kredibiliti.

Menurut Abdul Aziz, kongres hujung minggu ini bertujuan untuk menangani isu ini dan memperkukuhkan semangat perpaduan dan setiakawan dalam parti.

"Kongres di Kelantan akan memberi manfaat kepada parti terutama untuk mempereratkan semula perpaduan di kalangan penyokong akar umbi berikutan penghijrahan beramai-ramai itu.

"Insiden-insiden ini (keluar parti) tidak melemahkan kedudukan parti. Kami akan memperlihatkannya kepada ahli-ahli ketika kongres nanti," katanya. Seramai 2,500 perwakilan dan pemerhati dijangka berhimpun di kongres

Bermula Jumaat

Kongres yang bertemakan "Harapan Baru Selamatkan Malaysia", bermula Jumaat apabila sayap Wanita dan AMK (Angkatan Muda Keadilan) mula bersidang dan aturcara utama kongres bermula hari Sabtu.

Abdul Aziz berkata kongres juga dijangka membincangkan persiapan untuk menghadapi PRU13.

Semalam, FMT melaporkan setiausaha agung parti, Saifuddin Nasution Ismail sebagai berkata, bahawa parti akan menggunakan platform perhimpunan pada hujung minggu ini untuk memperkukuhkan struktur organisasi dan mencari jalan untuk mempereratkan hubungan dengan PAS dan DAP.

"Kami akan membincangkan prestasi negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat," katanya, merujuk kepada Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Tiada ulasan: