HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 November 2010

Isu patriotisme: Saya jawab usul MP DAP 13 Dis, kata Zahid

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan menjawab di Dewan Rakyat pada 13 Disember ini berhubung usul isu patriotisme yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran baru-baru ini.

Zahid (gambar) sebelum ini didakwa mempersoalkan semangat patriotisme orang India dan Cina negara ini, dan dilaporkan sebagai antara punca bukan Melayu kurang menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Penjelasan mengenai usul Ahli Parlimen Ipoh Barat akan saya jawab 13 Disember di Parlimen. DAP Perak pun dah tolak dia?” kata beliau yang juga Naib Presiden Umno dalam mesej Twitter.

Dewan Rakyat sebelum ini menetapkan minggu kedua untuk membahaskan usul berkenaan.

Zahid akan berhadapan dengan perbahasan usul dipotong gaji RM10 ekoran jawapan beliau mengenai sebab-sebab bukan Melayu kurang menyertai ATM di Dewan Rakyat dua minggu lalu.

Usul itu dikemukakan oleh Kulasegaran ekoran jawapan beliau di Dewan Rakyat 9 November lalu.

Kulasegaran ketika dihubungi berkata, beliau belum dimaklumkan tarikhnya tetapi lazimnya akan diketahui beberapa hari sebelum ditetapkan oleh Parlimen.

“Perlu menunggu giliran (tarikh usul dibawa),” kata Kulasegaran sambil menambah, “adalah sesuatu yang baik beliau sedia tampil memberikan penjelasan mengenai apa yang beliau mengatakan demikian sebelum ini.”

“Kementerian mendapati penyertaan kaum bukan Melayu terutama kaum Cina dan India masih berkurangan berkemungkinan disebabkan kekhuatiran terhadap disiplin yang ketat, ganjaran kurang berbanding swasta, tiada galakan daripada keluarga serta semangat patriotisme yang belum cukup tinggi,” kata Zahid di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan dikeluarkan di Jakarta yang dipetik Bernama keesokan hari, Zahid mendakwa ATM tidak ada prasangka kaum dalam pengambilan anggotanya dan oleh itu tidak timbul persoalan bukan Melayu kurang semangat patriotisme.

Zahid berkata rakyat daripada semua kaum boleh menyertai ATM dan berpeluang menyandang jawatan berpangkat tinggi.

Kata beliau, jawapannya di Dewan Rakyat mengenai faktor-faktor rendahnya penyertaan bukan Melayu dalam ATM dibuat berdasarkan dapatan kaji selidik ilmiah.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata kesemua anggota Kabinet telah diarah agar tidak lagi membincangkan secara terbuka isu itu.

Kata beliau, Kabinet menyerahkan kepada Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan pendekatan bagi menambah bilangan bukan Melayu dalam ATM.

“Kami telah mengambil pendirian, memandangkan Kabinet dan Perdana Menteri telah menasihatkan kami bahawa tiada lagi, kesemua bentuk retorik dan hujah secara terbuka.

“Buat kerja untuk membuktikan bahawa kita ini ikhlas dalam mahukan perkhidmatan tentera diwakili dengan baik (oleh semua kaum),” kata beliau.

Tiada ulasan: