Oleh Syuhada Choo Abdullah
Pengumuman dijangka pada konvensyen Ahad
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam berkata BN akan melakukan sedikit perubahan pada logo dan warna Barisan Nasional (BN) yang dijangka diumumkan pada Konvensyen BN, Ahad depan.
Ketika ini, BN yang didaftarkan secara rasmi pada 1 Jun 1974 ketika zaman Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, menggunakan simbol dacing dengan berlatarbelakangkan warna biru gelap sebagai tanda saksama, adil dan kemakmuran.
Sebelum itu, BN dikenali sebagai Perikatan yang ditubuhkan pada 1952 dengan menggunakan simbol perahu layar.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN bagaimanapun berkata, perubahan yang akan dilakukan pada logo dan warna BN itu akan diumumkan pada hari konvensyen itu nanti.
“Ada sedikit perubahan dari segi logo dan warna kita (BN) tetapi kita akan umumkan pada hari itu nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini, semalam.
Katanya, mesyuarat Dewan Tertinggi itu juga memutuskan tema konvensyen mesti berkisar kepada konsep BN mendahului atau mengutamakan kepentingan rakyat.
Sambil menjelaskan segala persiapan untuk konvensyen di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini sudah diatur dengan baik, beliau berkata, tema itu selaras dengan tema atau tagline nasional.
“Kita tekankan rakyat kerana dalam konsep demokrasi berparlimen, ini adalah kelompok terpenting dan kita mesti menjadi parti yang sanggup berkhidmat kepada rakyat, sanggup berjuang untuk kepentingan rakyat dan sentiasa membela kepentingan rakyat pada setiap ketika,” katanya.
Sementara itu, Najib berkata, kemenangan BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan, dan Parlimen Batu Sapi, Sabah, menunjukkan sokongan rakyat terhadap parti sedang meningkat.
Bagaimanapun, katanya, Dewan Tertinggi memutuskan kesinambungan pembaharuan dan perubahan secara positif mesti dilakukan untuk terus mempertingkat keyakinan rakyat bahawa BN adalah parti yang berasas kepada tema ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
“Ini bermakna kita akan terus melakukan apa yang perlu untuk memperlihatkan perubahan secara positif dan memperkenalkan dasar, program serta produk yang dapat menyentuh rasa hati rakyat.
“Dewan Tertinggi (BN) berpendapat dengan pendekatan seperti ini, keyakinan rakyat dapat terus ditingkatkan. Kita juga berazam supaya kerjasama antara parti komponen BN ditingkatkan dalam pelbagai aktiviti dan program pada semua peringkat,” katanya.
Beliau berkata, ini sekali gus bermakna kemelut antara parti komponen atau pun dalaman BN hendaklah dibendung dan menjurus kepada sifar masalah.
“Apabila kita dapat mencapai perkara ini, maka rakyat akan bertambah yakin bahawa kita bukan parti yang berbalah sesama sendiri. Sebaliknya, kita adalah parti yang akan terus bergerak, berjuang dan berusaha untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan