HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 September 2011

Inkues Ahmad Sarbani: Keluarga enggan mengulas

BERNAMA


Keluarga Ahmad Sarbaini Mohamed enggan memberi komen berhubung keputusan Mahkamah Koroner yang memutuskan pada Isnin bahawa kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada 6 April lepas, disebabkan "nahas".

Balu Ahmad Sarbaini, Masiah @ Maziah Manap, 50, yang merupakan saksi pertama dalam inkues tersebut, meninggalkan mahkamah sebaik sahaja Koroner Aizatul Akmal Maharani memberikan keputusannya.

Mohd Shah Jaafar yang merupakan ipar kepada Allahyarham, memberitahu pemberita keluarga Ahmad Sarbaini tidak akan memberi sebarang kenyataan pada masa ini.

Peguam Awtar Singh, yang mewakili keluarga Ahmad Sarbaini berkata beliau tidak menafikan kemungkinan akan memfailkan semakan berhubung keputusan itu. Peguam Muhammad Shafee Abdullah (gambar bawah), yang mewakili SPRM, berkata ia adalah keputusan yang tepat.

"Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Keputusan ini adalah sesuatu yang saya jangkakan dan dapat membersihkan sebarang salah laku di kalangan pegawai SPRM," katanya.

Bekas anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Robert Phang berkata walaupun beliau menghormati keputusan koroner, SPRM harus mengkaji semula prosedur siasatannya.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini pada 6 April lepas.


Tiada ulasan: