Namun Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyokong usaha telus penambah-baikkan sistem pilihan raya.
PETALING JAYA: Demokrasi di negara ini sedang tenat apabila kadar kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya amat rendah, demikian menurut satu kenyataan dari Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
Namun SAMM menyokong usaha telus penambah-baikkan sistem pilihan raya dan mendesak agar pilihan raya umum hanya wajib boleh diadakan selepas proses penambahbaikan selesai.
Oleh itu, kata kenyataan tersebut, SAMM bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik mahu pun apa jua organisasi untuk menyelamatkan negara dari kerakusan pemerintah korup yang kedudukan indeks rasuahnya yang parah mengikut beberapa statistik badan dunia.
Sistem demokrasi dan pilihan raya ini merupakan salah satu dari 10 resolusi yang dicapai dalam Rapat (Pengurusan) Kebangsaan SAMM pada 24 dan 25 September lalu di Shah Alam; di mana telah disepakati oleh 28 pengarah, penyelaras pusat dan negeri SAMM yang hadir mewakili perbagai segmentasi anak muda.
SAMM juga mengambil ketetapan bahawa apa jua dasar dan perubahan yang hendak dilaksanakan kerajaan perlu mengambilkira pandangan rakyat khususnya orang muda.
Mengenai peranan anak muda, SAMM melancarkan kaji selidik (skala besar) dalam masa 10 minggu untuk mendapatkan pendapat anak muda khususnya dari 11 juta golongan pekerja muda yang sedang bergelut dalam menyara kehidupan seharian yang semakin ‘menggila’ kosnya.
Antara resolusi lain, ialah SAMM meyakini pemansuhan ISA adalah kejayaan desakan rakyat dan perlu diteruskan terhadap undang- undang drakonian lain seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
SAMM juga menggesa isu-isu yang menyentap sensitiviti agama dan perkauman serta permainan politik lucah yang tidak langsung menguntungkan rakyat harus segera dihentikan. Tumpuan sumber dan tenaga harus ditumpukan kepada bagaimana membantu rakyat yang semakin susah.
Menurut kenyataan itu, SAMM dengan tegas mengatakan semua organisasi dan individu yang berjuang melawan penjajah sebelum tarikh merdeka wajar diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan.
Resolusi lain menyentuh tentang semua keperluan asas rakyat seperti pembekalan eletrik, air, lebuhraya yang perlu dimiliknegarakan, kata kenyataan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan