HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Mei 2012

Demo Bersih tidak pengaruh PM

Wartawan Sinar Harian

Perhimpunan Bersih 3.0 yang dijamin akan diadakan dengan aman berakhir dengan ganas.
 
Perhimpunan Bersih 3.0 yang dijamin akan diadakan dengan aman berakhir dengan ganas.
 
 
SHAH ALAM – Perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu yang menimbulkan kontroversi, tidak akan memberi kesan dan mempengaruhi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempercepatkan atau melambatkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, perhimpunan itu diadakan kerana pembangkang tidak ada isu lagi dan ia sengaja dikaitkan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya sahaja.

“Tuntutan perhimpunan Bersih dan Bersih 2.0 telah didengari dan bakal dilaksanakan dalam PRU akan datang. Tujuh daripada lapan tuntutan itu dimasukkan dalam 22 syor dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya yang dibentangkan di Parlimen.

“Ia diluluskan awal bulan lalu. Perhimpunan Bersih 3.0 tidak penting bagi menentukan tarikh pilihan raya kerana ia berkaitan isu keselamatan,” katanya.

Menurutnya, pilihan raya tetap diadakan dan pendedahan perhimpunan Bersih di serata dunia oleh pembangkang hanya sementara.

Jumaat lalu, Najib menegaskan perhimpunan Bersih 3.0, yang dikatakan menarik lebih ramai peserta berbanding Bersih 2.0 Julai lalu, tidak akan menimbulkan keraguan untuk beliau memanggil PRU13.
Bagaimanapun menurut Perdana Menteri, biar tunggu dan lihat apa yang akan berlaku.

Selaku Perdana Menteri, Najib ada keistimewaan untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen dengan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya tak ragu-ragu. Saya tak tahu, kita tengoklah," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi Umno.

Sementara itu, pensyarah sains politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata, pilihan raya bergantung kepada penilaian Najib, bukannya perhimpunan Bersih.

Katanya, Bersih hanya pengaruhi pengundi bukannya tarikh pilihan raya.

“Perhimpunan Bersih adalah provokasi pembangkang pengaruhi pengundi sahaja. Ia tidak ada kaitan dengan tarikh pilihan raya," katanya.

Tiada ulasan: