|
|
KUALA
LUMPUR : Seramai 930 banduan hukuman mati sedang ditahan di penjara di
seluruh negara atas pelbagai kesalahan sehingga 31 Ogos lepas, kata
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop.
Beliau berkata
statistik Jabatan Penjara Malaysia menunjukkan antara kesalahan yang
dilakukan ialah mengedar dadah, membunuh, culik, serta kesalahan
berkaitan senjata api dan keselamatan negara.
“Hukuman
terhadap banduan ini masih belum dapat dilaksanakan kerana masih di
peringkat rayuan di mahkamah atau Lembaga Pengampunan Negeri,” katanya
pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mengenai statistik terbaharu bagi banduan ‘bilik akhir’ di negara ini.
Abu
Seman berkata daripada 930 banduan itu, 725 sedang dalam proses rayuan
di mahkamah manakala 205 lagi di peringkat Lembaga Pengampunan Negeri.
Abu
Seman berkata berdasarkan rayuan yang dibuat sejak 2001 hingga 31 Ogos
2012, 41 banduan hukuman mati telah diberi pengampunan yang mana enam
diringankan hukuman kepada penjara sepanjang hayat, penjara seumur hidup
(33 banduan), dibebaskan awal (seorang) dan bebas serta-merta
(seorang).
Menjawab
lagi soalan Karpal, beliau berkata kerajaan tidak bercadang
menghapuskan hukuman mati mandatori tetapi menyambut baik sebarang
cadangan yang diberi berkaitan perkara itu.
Kepada
soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) sama ada kerajaan bercadang
mengenakan bayaran balik ke atas banduan kesalahan berulang, Abu Seman
berkata kerajaan tidak bercadang berbuat demikian memandangkan jumlah
pesalah tersebut adalah kecil. (Bernama)
|

Tiada ulasan:
Catat Ulasan