| Oleh : M RAMLI |
|
TANPA
mengambil kira keputusan pilihanraya-pilihanraya kecil selepas PRU
ke-12 tahun 2008 dan juga wakil rakyat katak yang lompat sini sana,
dalam simpanan deposit BN ada 140 kerusi Parlimen dan 305 DUN.
Kemenangan 63% di Parlimen memberi hak BN untuk membentuk kerajaan,
tetapi kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen meletakkan BN dalam keadaan
berjaga-jaga setiap kali Parlimen bersidang.
Angka-angka
tersebut juga membentuk paras pencapaian minimum Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak dalam mengharungi PRU akan datang.
Istilah
minimum digunapakai kerana Najib sedang pening kepala menguruskan
senarai calon yang panjang lebar di kawasan-kawasan yang banyak kod
warna sehingga ada calon yang putih pada bulan April, tiba-tiba jadi
kelabu pada bulan Jun, masuk bulan Ogos entah silap siapa, nama yang
sama jadi hitam.
Biar
apapun yang dibicarakan mengenai calon atau kod warna kawasan, untuk
memperoleh majoriti 2/3, BN perlukan tidak kurang daripada 148 kerusi
Parlimen, dengan harapan kerahan tenaga mengejar majoriti 2/3 turut
membawa kepada rampasan kembali tampuk kuasa di Pulau Pinang, Kedah dan
Selangor serta memberi legitimasi kepada 'kemenangan' BN di Negeri
Perak.
Mungkin
para pembesar di Putrajaya dan PWTC semakin merasai kepanasan rungutan
penyokong BN di peringkat akar umbi mengenai permasalahan yang melanda
kerajaan, sampai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
terpaksa memberi amaran bahawa mereka yang didapati cuba sabotaj calon
parti dalam PRU akan disingkir.
Persoalannya,
kenapa hanya beri amaran sekarang bila PRU 13 sudah hampir? Bukankah
amaran sebegini akan menyukarkan lagi proses perpaduan di peringkat akar
umbi atau amaran ini terpaksa diberi kerana para pembesar di Putrajaya
dan PWTC sudah mengambil keputusan untuk menurunkan calon 'payung
terjun' di kawasan-kawasan panas?
Untuk
dicalonkan, seseorang itu mestilah mempunyai kualiti 'Winnable', maka
meriahlah sembang di kedai kopi dan warung mengenai siapa 'WC' atau
'Winnable Candidate' yang berjaya memikat hati para pembesar parti, atau
isteri-isteri pembesar tertentu. Definisi WC ini berbagai-bagai, tahap
penerimaan mereka juga berbeza mengikut kawasan.
Oleh
yang demikian, bagi member justifikasi kepada keputasan mengetengahkan
bidan terjun, pujukan halus seperti “kepentingan parti mendahului
kepentingan individu” dan “pengorbanan demi perjuangan parti” kini
menanti giliran untuk dipaparkan menerusi media masa dan ucapan-ucapan
pemimpin parti.
Bagaimanapun,
para pembesar parti yang selama ini lantang berhujah mengenai
perjuangan parti dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada agenda parti
perlu sedar akan tanggungjawab lebih besar yang menanti mereka.
Sekiranya
pengorbanan demi parti dituntut untuk memastikan parti terus gah dan
bertakhta, kenapa pengorbanan itu hanya daripada satu pihak sahaja dan
bukannya diteladani oleh para pembesar yang sudah lama berkuasa hasil
sokongan kuat orang-orang di bawah?
Dalam
erti kata yang lebih mudah, beranikah para pemimpin kanan parti dalam
mempertaruhkan kekuatan politik dan populariti mereka di kawasan-kawasan
hitam/kelabu hitam pada PRU akan datang demi menyelamatkan kawasan
tersebut daripada terus dijajah oleh pihak pembangkang?
Beranikah mereka, atau pemimpin anak jantan sebegini sudah pupus dalam UMNO?
Pada
PRU ke-6 yang berlangsung pada tahun 1982, President MCA pada masa tu,
Datuk Seri Lee San Choon, memimpin parti beliau menentang serangan hebat
daripada DAP.
Pada waktu itu, MCA
berhadapan dengan krisis keyakinan daripada para pengundi Cina yang
pada umumnya menganggap calon MCA hanya boleh menang dengan undi Melayu.
Lim
Kit Siang, Setiausaha Agung DAP pada masa itu, sering mengejek MCA dan
memperkecilkan keupayaan MCA dalam meraih sokongan pengundi Cina. Malah,
Kit Siang turut mencabar Lee San Choon untuk bertandingan di mana-mana
satu daripada 12 kawasan majoriti pengundi Cina bagi membuktikan bahawa
MCA bukan hanya mengharap ehsan pengundi Melayu.
Berhadapan
dengan serangan politik bertubi-tubi daripada pembangkang dan demi
mengembalikan semangat ahli-ahli parti dalam berhadapan dengan para
pengundi Cina, Lee San Choon menjawab cabaran Kit Siang dengan mengambil
keputusan berani untuk bertanding di Parlimen Seremban, iaitu salah
satu kubu kuat DAP pada waktu itu yang menjadi 'jajahan' Pengerusi DAP,
Dr Chan Mon Hin.
Ironinya,
Kit Siang yang kuat mencabar orang memilih untuk tidak menyahut cabaran
San Choon dengan alasan Seremban kawasan Mon Hin. Lantaran dengan itu,
pertandingan di kawasan Parlimen menemukan dua gergasi politik Cina
dalam satu pertarungan yang bakal menentukan hidup-mati parti
masing-masing.
Semangat
anak jantan Lee San Choon memilih untuk berhadapan dengan musuh kuat di
kawasan paling hitam membuahkan hasil lumayan kerana bukan sahaja
beliau menewaskan Pengerusi DAP di Seremban, strategi beliau bertanding
di kawasan hitam juga menaikkan semangat ahli-ahli parti di setiap
peringkat untuk berjuang habis-habisan bagi memenangkan parti di seluruh
Negara.
Pada
PRU tersebut, MCA di bawah pimpinan Lee San Choon memenangi 27 kerusi
Parlimen, menjadi kemenangan di Seremban satu bonus yang cukup
bersejarah dan dihormati para pengundi Cina.
Melihat
pada konteks masa kini di mana perang saraf dan kempen PRU sudah jauh
berbeza berbanding tahun 80-an, semangat dan keberanian Lee San Choon
sudah tidak banyak kelihatan dalam diri pemimpin sekarang.
Rata-ratanya
pemimpin besar UMNO cukup selesa dengan jawatan besar masing-masing dan
undi pos yang memberi jaminan kemenangan, bolehlah mereka berceramah
besar mengenai betapa pentingnya ahli parti melakukan pengorbanan demi
kelangsungan perjuangan parti.
Persoalannya,
kenapa ahli-ahli parti yang menaikkan pemimpin-pemimpin besar ini kerap
dikorbankan, pemimpin besar pula selamba rumah besar isteri dua dan
bercuti sakan di London?
Mengapa
setiap kali dibicarakan mengenai isu perjuangan parti dan memenangkan
kawasan hitam/kelabu hitam, tidak pernah biar pun sekali ada pemimpin
besar yang merelakan diri untuk bertanding di kawasan-kawasan tersebut
bagi memberi nafas baru kepada ahli-ahli parti dan jentera parti?
Kawasan-kawasan
putih mengelit yang selama ini dipegang para pembesar kerajaan seperti
Pekan, Pagoh, Bagan Datoh, Sembrong dan Sungai Sibuga sudah gagah dan
kuat dengan jentera yang mantap dan sokongan pengundi yang kukuh.
Kemenangan di situ sudah menjadi satu perkara yang lazim dan hanya
faktor majoriti kemenangan sahaja yang menjadi topik perbualan.
Tetapi
dari segi matematik politik, para pembesar kerajaan tidak sedar akan
peranan mereka dalam membantu memenangkan lebih banyak kerusi untuk
parti. Seharusnya dengan populariti mereka yang tinggi dan sokongan
rakyat terhadap kepimpinan mereka yang begitu kuat seperti mana laporan
berita media masa, mereka boleh menang di mana-mana sahaja kawasan yang
mereka tandingi kerana mereka cukup popular dan diterima rakyat.
Oleh
yang demikian, sudah sampai masanya para pemimpin yang popular tersebut
mengambil pendekatan yang lebih strategik dalam menambah kerusi
kemenangan UMNO, iaitu dengan bertanding di kawasan hitam/kelabu hitam.
Strategi
sebegini bukan baru kerana pada tahun 80-an, Lee San Choon telah
melakukan perkara yang sama dan menang. Yang berbeza sekarang ialah Lee
San Choon tidak begitu popular pada waktu itu seperti mana Najib,
Muhyiddin dan Ketua-Ketua Menteri, malahan Menteri Dalam Negeri yang
cukup popular (bukan persepsi dan tiada kompromi) kerana mempunyai
pengikut Tweeter dekat 200 ribu dan cukup diminati artis-artis jejaka
termasuk Aaron Aziz dan Anuar Zain.
Maka
sudah tentu aura populariti mereka di kalangan masyarakat akan
memperkuatkan lagi semangat jentera di kawasan-kawasan hitam/kelabu
hitam, reputasi nasional mereka juga akan menambat hati dan minda para
pengundi dengan mudah sejajar dengan prestasi mereka mentadbir
negara/negeri.
Para
pembesar-pembesar kerajaan selama ini tidak sedar bahawa mereka mampu
melakukan sumbangan yang jauh lebih besar daripada mempertahakan
kerusi-kerusi putih mereka.
Pada
hakikatnya sekiranya mereka dapat menjana sokongan rakyat di kawasan
hitam/kelabu hitam menerusi populariti mereka di peringkat nasional,
setiap kerusi yang mereka menangi adalah bonus besar kepada UMNO/BN
bukan sahaja dari segi menaikkan moral ahli parti, tetapi sekali gus
menambah kerusi yang dimenangi dan membantu UMNO/BN kembali memeluk
majoriti 2/3.
Harus
diingat, strategi itu telah membuahkan hasil bukan sahaja kepada Lee
San Choon dan MCA pada tahun 80-an, tetapi juga kepada parti pembangkang
seperti DAP.
Walaupun
bergerak sebagai pembangkang dengan masalah kekurangan sumber dan
organisasi jentera yang mantap seperti UMNO/BN, para pemimpin kanan DAP
berperang secara 'Gorilla' iaitu menawan kubu lawan satu per satu.
Jenderal
perang mereka akan sentiasa berada di barisan hadapan dan meninggalkan
kawasan yang telah mereka tawan supaya mereka dapat meneruskan misi
perang di kawasan lawan yang lain.
Rekod
PRU ke-12 jelas mencerminkan keberhasilan tinggi strategi pihak
pembangkang. Lim Guan Eng mengambil risiko bergerak dari Melaka ke Pulau
Pinang dan DAP menempah kejayaan paling besar dalam sejarah parti di
utara Semenanjung. Pada masa yang sama, DAP tetap gagah di Melaka dengan
memenangi 1 daripada 2 kerusi Parlimen yang ditandingi dan 5 kerusi DUN daripada 8 kerusi yang ditandingi.
Jelas
bahawa Lim Guan Eng mewarisi DNA bapa dia, Lim Kit Siang. Kit Siang
masyur dengan sejarah bertanding di beberapa negeri bermula daripada
Melaka, lalu ke Selangor, kemudiannya ke Pulau Pinang dan terbaru di
negeri Perak di mana Kit Siang menang besar di Parlimen Ipoh Timur
dengan majoriti 21ribu undi.
Hulubalang-hulubalang
seperti Kit Siang dan Guan Eng tidak mempunyai rekod tanpa kalah. Dalam
sejarah penglibatan PRU mereka, ada juga peristiwa di mana mereka kalah
teruk kepada calon daripada BN.
Tetapi
mereka terus berjuang dan yang paling penting, pendekatan berani mereka
merempuh kubu kuat BN telah berjaya memperkuatkan parti dan membuka
ruang kepada generasi baru kepimpinan parti untuk bertapak di
kawasan-kawasan tradisi UMNO/BN.
Kepada
para pembesar-pembesar UMNO, mungkin sudah tibanya masa untuk menilai
kembali tanggungjawab masing-masing terhadap survival parti dan bukan
hanya mengorbankan ahli-ahli parti untuk selamat diri sendiri. Mungkin
benar bahawa di jentera peringkat akar umbi masih tenat dengan isu-isu
dalaman. Tetapi sekadar memberi ucapan mengenai survival parti dan
kepentingan parti sudah tidak berkesan lagi.
Kepimpinan
itu bukan satu retorik tetapi satu kewajipan dan satu amanah yang perlu
diterjemahkan kepada tindakan. Pada masa dan ketika survival parti
berada di persimpangan, para pembesar parti harus melakukan lebih
daripada menuntut pengorbanan daripada ahli-ahli akar umbi.
Sudah
sampai masanya para pembesar parti mengepalai serangan barisan hadapan
dan bukannya duduk mengarah jentera kempen di kawasan putih yang UMNO/BN
boleh menang biarpun 'diletakkan songkok sahaja'.
Demi
survival parti, demi menaikkan semangat jentera dan demi tujuan keramat
menawan kembali kerusi yang pernah menjadi kubu kuat parti, para
pembesar Putrajaya perlu meninggalkan kawasan putih masing-masing dan
bertanding di kawasan hitam/kelabu hitam di PRU akan datang.
Sebagai
contoh, Najib selaku Pengerusi Perhubungan BN Selangor merupakan
seorang pemimpin berjiwa rakyat yang rajin turun padang, kuat bekerja
dan jauh lebih popular daripada mana-mana pemimpin pembangkang.
Sekiranya Najib bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak, PKR sudah pasti
akan kehilangan seorang 'heavyweight' di situ kerana tidak mungkin MB
Selangor yang tidak mampu urus air dalam negeri dan ada masalah dengan
Timbalan Presiden parti sendiri mampu menandingi aura dan rekod khidmat
cemerlang Najib.
Sebagai
satu pendekatan tambahan bagi memantapkan lagi jentera UMNO/BN Selangor
dan memberi impak 'Double-Punch' pada PRU akan datang, Hishamuddin
Hussien dilihat sebagai rakan setia Najib yang paling berkaliber dalam
membantu misi Najib menawan semula Selangor.
Dengan
sokongan dan rangkaian maklumat daripada agensi-agensi utama seperti
PDRM, RELA, JPAM, Skuad Muda KDN dan pengikut Tweeter hampir 200 ribu
dan dibantu rakan-rakan artis tampan molek, Hishamuddin yang cukup masak
dengan situasi semasa di Selangor dan berdekad menjadi pemegang 'Permit
Masuk' di Ampang, dilihat mampu meneruskan sokongan kuat beliau kepada
Najib dengan bertanding di Parlimen Ampang yang dimenangi calon PKR pada
PRU yang lepas.
Parlimen
Ampang dilihat cukup ideal bagi Hishamuddin kerana komposisi pengundi
mengikut kaum di Ampang (56% Melayu, 34% Cina, 8% India) menyerupai
komposisi pengundi di Parlimen Sembrong (54% Melayu, 36 Cina, 9% India).
KDN
selama ini telah melakukan banyak inisiatif mengurangkan jenayah di
negeri Selangor dan berjaya mencatat penurunan dari segi kadar jenayah
(bukan persepsi). Kelebihan ini merupakan satu prestasi tinggi yang
meletakkan Hishamuddin di satu kedudukan yang amat selesa dan sangat
sangat popular di Ampang.
Bertanding
di Parlimen Ampang juga akan membantu Hishamuddin menyukarkan kempen
PKR di DUN Bukit Antarabangsa yang dimenangi Azmin Ali pada PRU yang
lepas. Berasaskan kepada tahap populariti yang tinggi dan pengalaman
hidup Hishamuddin di Ampang, beliau bukan sahaja mampu memberi sumbangan
besar kepada misi Najib dalam menawan semula Selangor, memenangi satu
lagi kerusi bonus untuk UMNO/BN tetapi juga membantu dalam melemaskan
jentera politik PKR di Selangor.
Melihat
kepada isu ketandusan pemimpin berkaliber dalam Badan Perhubungan UMNO
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, seharusnya Muhyiddin
mempertimbangkan cadangan untuk bertanding di salah satu kawasan
Parlimen dalam Kuala Lumpur.
Kuala
Lumpur selama ini dianggap sebagai kubu kuat parti pembangkang dan
ketiadaan heavyweight UMNO untuk menentang pembangkang di Kuala Lumpur
secara konsisten telah menjadikan jentera UMNO di Kuala Lumpur lebih
bersifat jentera berniaga daripada jentera politik.
Sekiranya
Muhyiddin sudi memimpin misi serang UMNO di Titiwangsa atau di
Wangsamaju, sudah tentu pembangkang akan hilang arah dan dikorbankan
jentera kempen Muhyiddin yang turut diperkuatkan dengan sokongan kuat
para guru.
Kepada
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, mungkin sudah sampai masa
untuk tidak menggelabah dengan keputusan kajiselidik Merdeka Centre.
Tidak usahlah mahu bergantung kepada kenyataan Datuk Seri Salleh Said
Keruak untuk melepaskan diri daripada situasi politik Sabah yang sudah
cukup tenat dan mencabar.
Hakikatnya,
kalau sudah dibuktikan tidak popular, maka terimalah hakikat dan
carilah jalan untuk memperbetulkan keadaan. Tiada lagi alasan untuk
terus berselindung di sebalik persabahatan dengan para pembesar di
Putrajaya. Segala permasalahan kepimpinan di Sabah yang tidak
putus-putus sehingga makin ramai meninggalkan UMNO/BN tidak berlaku
secara spontan.
Ahli-ahli
parti di akar umbi faham benar bahawa sudah tiba masanya Musa tampil
berhadapan dengan masalah yang beliau cetuskan sebelum UMNO/BN tenggelam
di PRU akan datang.
Demi
memastikan UMNO/BN terus selamat dan berkuasa di Sabah, Musa yang
merupakan anak kelahiran Beaufort perlu kembali ke kampung kelahiran
beliau untuk memastikan kerusi Parlimen Beaufort tidak jatuh ke pangkuan
pembangkang di PRU akan datang.
Sekiranya
Lajim Ukim bukan satu faktor yang boleh melemahkan UMNO Sabah seperti
yang diwar-warkan oleh Ahli Parlimen Kota Belud, maka Musa harus yakin
dan percaya bahawa beliau juga akan menang besar walaupun bertanding di
Beaufort.
|

Tiada ulasan:
Catat Ulasan