Oleh: Mat Zain Mat Isa
Memang
sinis kenyataan balas oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz
Nasarudin Hasan terhadap pelawaan rakan sejawatnya daripada Umno minggu
lalu. Ketua Pergerakan
Pemuda parti pemerintah itu membayangkan kemungkinan menggabungkan
usahanya bersama DPPP membantah penghinaan terhadap Nabi saw, khususnya
menerusi filem Innocence of Muslims, yang menjadi fokus demonstrasi umat Islam serata dunia kini.
“Terima kasihlah jemput kami. Kalau tiada jemputan pun, kami memang akan turun pada 21 September ini, kerana kami terlebih awal telah “dijemput" oleh Nabi kami saw untuk turun menunjuk sikap dan mempertahankan kemuliaan Nabi kami saw, yang dihina sedemikian rupa oleh musuh-musuh Islam. Kalau 17 September baru nak jemput kami, memang terlalu lambat lah, sebab kami dah set up segalanya lebih awal”, baca kenyataan itu, yang disebarkan menerusi internet, 20 September.
Menurutnya, DPPP pimpinannya sudah pun membuat keputusan mengenai program himpunan itu seminggu lebih awal (pada 12 September).
Difahamkan
kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai reaksi terhadap terjahan media
berhubung pelawaan tersebut. Bahkan, ada yang mengasak DPPP sebagai
tidak wajar menolak “pelawaan ikhlas” Pemuda Umno itu.
“Suka
saya tegaskan bahawa perkara ini (pelawaan Ketua Pemuda Umno) bukanlah
isu sebenar. Sebaliknya apa yang jadi isu ialah penghinaan ke atas Nabi
saw. Ada pun siapa nak bantah filem hina Nabi tu, turunlah ke kedutaan
US (Amerika Syarikat), Jumaat ini. Habis cerita,” tegas beliau.
Bahkan,
Nasruddin juga sempat mempertikaikan keseriusan anak-anak muda parti
lawannya itu untuk benar-benar mempertahankan kesucian Islam, khususnya
peribadi Rasulullah saw. Walau pun kenyataan itu tidak memperincikan
butiran dimaksudkan, contoh-contoh yang boleh menafsirkan
ketidakseriusan parti pemerintah itu, termasuk khalayak pemudanya
mempertahankan kesucian Islam adalah terlalu banyak. Ia malah sudah
menjadi pengetahuan umum yang hanya perlu diulangsebut untuk rekod.
Bagaimana
mahu diharap orang akan menganggap kita serius mempertahankan kemuliaan
Rasulullah saw, sedangkan di ketika lain kita juga menjadi juara
menganjurkan, mempromosi atau terlibat aktif menjayakan program yang
sama sekali bercanggah dengan ajaran Baginda saw?
Misalnya,
apakah Pemuda Umno mempunyai sikap yang jelas menentang pembudayaan
muzik rock, k-pop, heavy metal, dan entah apa-apa lagi genre hiburan
yang disajikan dengan meluas kepada golongan muda-mudi negara ini?
Pernahkah rakyat negara ini mendengar atau membaca berita sekumpulan
Pemuda Umno ikut bersama Pemuda PAS membantah konsert artis Barat yang
jelas membawa mesej merosakkan akhlak, sekaligus mencabar usaha mendidik
anak-anak muda Melayu menghayati ajaran Nabi Muhammad saw?
Kes
sedemikian bukan setakat tidak pernah berlaku, sebaliknya kumpulan
pemuda parti itu sendiri yang dengan senang dan tersenyum lebar menerima
kehadiran artis-artis tersebut. Dalam banyak kes, Pemuda PAS
“bersendirian” membantah hal-hal sedemikian.
Itu
belum lagi sebutkan mengenai cacian dan cercaan terhadap ulama, yang
disifatkan oleh Baginda saw sendiri sebagai “pewaris para nabi”.
Bukankan kita (maksudnya, khalayak terlibat itu) pernah menghina, memaki
hamun dan perlekeh ulama? Sedangkan ulama itu pewaris anbiya’, termasuk
Nabi Muhammad saw sendiri. Pernahkah Pemuda Umno bersuara membantah,
atau sekurang-kurangnya menegur sebilangan pemimpin parti itu sendiri
yang masyhur dengan kenyataan-kenyataan mereka menghina ulama sebelum
ini?
Pernah
juga Sunnah-Sunnah Nabi saw dihina dan orang yang mengamalkannya
dipersoalkan. Contohnya, pernah berlaku bila nampak orang pakai serban,
pakai jubah, simpan janggut panjang, kita perli dan pandang serong
terhadap mereka. Kita ejek orang simpan janggut sebagai “kambing”, kita
kata dulu orang Arab zaman Nabi saw simpan janggut itu pun bukan sangat
kerana menjadikannya Sunnah, tetapi kerana tidak ada pisau cukur
gillette.
Secara
terang-terangan perkataan-perkataan itu menghina Sunnah Nabi. Namun, di
manakah suara bantahan Umno, khususnya para pemudanya dalam hal itu?
Ertinya,
nampak sangat sikap dan pendirian, bawaan hidup sedemikian tidak
konsisten dengan apa yang mahu tonjolkan kebelakangan ini. Dalam
ertikata lain bantahan yang mereka buat (secara berasingan) minggu lalu
dinilai orang sekadar suatu “persendaan”.
Di
suatu masa kamu berteriak bagai nak terputus urat leher, hampir nak
pecah peti suara mempertahankan Rasulullah, mengutuk penghinaan kuffar
terhadap Baginda. Malangnya, di masa yang lain kamu jugalah paling ke
depan sebagai penganut dan penyebar ideologi, budaya dan cara hidup
kuffar.
Akibatnya,
apa jua bantahan atau demonstrasi yang kamu buat, ia tidak sedikit pun
menghairankan, apatah lagi menggerunkan puak kuffar itu. Mereka
sebaliknya tersenyum melihat kamu terlonjak-lonjak, bertempik-tempik,
sambil hati mereka tertawa, “ini semua hanya lakonan, kepura-puraan”.
Tepat
sebagaimana ditempelak oleh Nasruddin dalam kenyataan tadi, “orang
kampung semua sudah kenal. Siapa yang serius mahu pertahankan Islam dan
kesuciannya dan siapa pula yang hanya mahu mencari political millage dan menggunakan media untuk memposisikan diri”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan