HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Oktober 2012

Bajet BN 2013 ‘merasuah rakyat’ pertahan Putrajaya



Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak terus-menerus menabur wang tunai yang mengikut istilah mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sebagai “menyerupai rasuah” dalam pembentangan Belanjawan 2013 pada 28 September lalu.

Lebih parah sebenarnya kerajaan telahpun memerah keringat rakyat melalui pelbagai kaedah untuk mengutip wang bagi ditabur semula kepada rakyat dalam bentuk Belanjawan 2013 semata-mata untuk pertahan Putrajaya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pembentangan oleh Najib itu sebagai “gula-gula” menjelang PRU13. Apa yang dikesali, tegas beliau, rakyat terlebih daBajethulu dibebankan dengan kerajaan mengutip wang dari poket melalui Saman AES; kenaikan harga minyak RON97; cukai pendapatan di negara ini yang tinggi dan kenaikan tarif elektrik yang mencengkam.

Beliau berkata, kerajaan Umno-BN langsung tiada pelan untuk mengatasi kemelut hutang negara yang semakin meningkat kerana amalan belanjawan defisit yang masih berterusan selama 15 tahun lalu.

Ditanya sama ada fokus kerajaan untuk mengurangkankan kadar defisit kepada 4.0 peratus boleh berjaya, Dr Dzulkefly berkata, ianya agak sukar memandangkan kedudukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tidak berkembang.

Memperkatakan amalan pemberian sekali (one-off) seperti BR1M dan bonus dalam Belanjawan 2013, beliau menyifatkan ianya tidak menjana pertumbuhan ekonomi mahupun menggalakkan pelaburan.

Malah katanya, ia hanya akan merosakkan ekonomi dan akhirnya melumpuhkan ekonomi negara. Beliau berkata, BR1M berlawanan dengan kebajikan berstruktur yang dicadang Pakatan Rakyat dalam Belanjawan 2013 dengan peruntukan kebajikan tertentu mengikut tempoh bersesuaian. Sebelum ini, kerajaan Umno-BN melalui Bajet 2012, menyogok wang tunai RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan yang dianggap Mahathir sebagai “menyerupai rasuah”.

Dr Dzulkefly menegaskan, belanjawan adalah isu dasar yang harus diteliti dengan kemampuan negara untuk berbelanja dan apa yang dibentang Najib tidak melambangkan pengurusan ekonomi yang bertanggungjawab.

Berbanding Belanjawan Pakatan Rakyat kata Dzulkefly, gabungan pembangkang berpegang kepada prinsip yang akan menjamin pertumbuhan ekonomi yang akan diagih kepada rakyat.

“Ia menjana pertumbuhan dan pelaburan baru yang akan beri peluang pekerjaan dan tingkatkan pendapatan dan kuasa ekonomi rakyat,” kata beliau.

Belanjawan Pakatan, katanya, bukan slogan atau retorik politik semata-mata, bahkan melambangkan kesungguhan Pakatan untuk membela rakyat tanpa mengira kaum.

Tiada ulasan: