Langkah itu perlu selari dengan tindakan
kerajaan negeri sebelum ini yang mengambil alih hutang Talam sebanyak
empat kali ganda daripada nilai asal.
PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) digesa supaya mengambil alih hutang pembeli rumah dengan harga empat kali ganda daripada harga pasaran.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah berkata, langkah itu perlu selari dengan tindakan kerajaan negeri sebelum ini yang mengambil alih hutang Talam Corporation Berhad sebanyak empat kali ganda daripada nilai asal.
“JMM mencadangkan supaya kerajaan Selangor bersikap adil terhadap pemilik rumah dengan mengambil alih harga rumah sama seperti mereka ambil hutang Talam.
“Kalau mereka boleh bayar hutang orang kaya (Talam) empat kali ganda, mereka juga perlu berbuat demikian demi kepentingan rakyat dan pemilik rumah PKNS,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang memberikan reaksi positif terhadap isu penyelesaian hutang tersebut.
Namun dengan syarat hak pemilikan rumah PKNS turut diambil alih.
Pada 1 Oktober lalu, PKNS menerima tuntutan daripada 350 pembeli rumah dari Shah Alam, Taman Datuk Harun dan Kelana Jaya agar perbadanan itu mengambil alih hutang kediaman mereka yang keseluruhannya berjumlah RM50 juta bagi menyelamatkannya daripada dilelong.
Pada 5 Oktober pula, perbadanan tersebut menerima tuntutan 200 pembeli rumah di sekitar Shah Alam yang turut menuntut PKNS mengambil alih hutang kediaman mereka yang berjumlah RM15 juta.
Kemudian, seramai 100 pembeli rumah Pangsapuri Permai, perumahan Sri Manja dan Taman Medan, Petaling Jaya pula menuntut perbadanan itu mengambil alih hutang rumah mereka yang keseluruhannya berjumlah RM10 juta daripada dilelong.
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaannya sebelum ini terdapat 10 kakitangan awam yang menerima sogokan daripada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) untuk mendapatkan maklumat sulit kerajaan, Azwanddin berkata pihaknya belum bersedia mendedahkan nama pegawai terbabit kepada umum.
Sebaliknya, menunggu pengakuan rasmi daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa selepas siasatan dijalankan terhadap pegawai daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dan Bank Negara yang terlibat.
Beliau turut menegaskan mempunyai bukti dakwaan termasuk nama pegawai terlibat dan dokumen transaksi dan bercadang akan menyerahkannya kepada Ali dalam masa terdekat secara tertutup.
Turut baca:
Berpiket: PKNS buat laporan polis
Tiada ulasan:
Catat Ulasan