SINAR HARIAN
JOHOR BHARU - Sepasang suami isteri memfailkan saman terhadap empat
anggota polis dan tiga yang lain bagi menuntut ganti rugi kerana
mendakwa secara cuai menembak mati anak lelaki mereka tiga tahun lepas.
Sapiah Md Ellah, 54, dan suaminya, Arin Abdullah, 59, dari Felda
Simpang Waha, Kota Tinggi, menamakan Konstabel Mohd Izzuddin Rahim,
Koperal Masrom, Kostabel Nazmi dan Konstabel Ridzuan sebagai empat
responden utama dalam saman yang difailkan menerusi Tetuan Daim &
Gamany di Mahkamah Tinggi (Sivil) kira-kira jam 11.30 pagi di sini hari
ini.
Plaintif turut menamakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat
Polis Seri Alam, ASP Sahul Hameed Abdul Rahman, Ketua Polis Negara dan
Kerajaan Malaysia sebagai defendan kelima, keenam serta ketujuh.
Kedua-dua suami isteri itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas
sebanyak RM1,850, ganti rugi teruk dan atau gantirugi teladan serta
ganti rugi kesedihan dan kedukacitaan.
Mereka menuntut empat peratus kadar faedah setahun terhadap jumlah
penghakiman untuk ganti rugi khas dikira bermula 20 Oktober 2009 (tarikh
kejadian) hingga tarikh penyelesaian penuh kes.
Plaintif menuntut kadar faedah yang sama terhadap jumlah penghakiman
untuk ganti rugi am dikira daripada tarikh writ saman hingga tarikh
penyelesaian penuh, selain kos dan apa jua perintah serta relif lain
yang difikirkan patut dan wajar oleh mahkamah.
Sapiah berkata, tindakan saman itu adalah bagi menuntut keadilan dan
membersihkan nama baik anak serta keluarganya kerana yakin anaknya, Mohd
Afnam Arin tidak bersalah.
"Anak saya tidak bersalah dan kematiannya juga lambat dimaklumkan.
Malah sehingga kini polis gagal melengkapkan siasatan terhadap kejadian
itu (di Taman Johor Jaya, pada 20 Oktober 2009) Usaha saya mendapat
maklum balas pihak polis juga tidak berhasil.
"Arwah adalah anak keenam daripada tujuh beradik dan seorang yang lemah
lembut dan sentiasa disukai. Saya terkilan apabila anak saya dituduh
terbabit dalam kes jenayah sehingga dia mati ditembak polis," katanya.
Dalam tuntutannya itu, Sapiah dan Arin mendakwa anak mereka Mohd Afham,
yang ketika itu berusia 19 tahun, meninggal dunia selepas terkena tiga
das tembakan ketika bersama rakan sebaya yang masih hidup, Mohd Firdaus
Marsani.
Kejadian berlaku ketika pelajar Kolej Komuniti Ledang itu yang sedang
menjalani latihan praktikal di Larkin membonceng motosikal bersama
rakannya sebelum dihampiri keempat-empat defendan utama yang menjerit
perkataan 'polis' sebelum cuba menghadang bagi memberhentikan motosikal
berkenaan.
Mangsa dikatakan terkejut dan ketakutan kerana beranggapan defendan
yang berpakaian preman, menunggang motosikal biasa dan tidak menunjukkan
kad kuasa adalah perompak, lalu bertindak melarikan diri sebelum
dikejar.
Ketika tiba di persimpangan Jalan Persiaran Seri Alam, keempat-empat
defendan dikatakan melepaskan tembakan menyebabkan mangsa dan rakannya
terjatuh.
Mengikut laporan perubatan, Mohd Afnam meninggal dunia akibat tembakan
di dada, manakala Mohd Firdaus sempat menyelamatkan diri. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan