TUNTUTAN HAK…..150 pemilik tanah tersebut kami mahu kembalikan hak milik tanah mereka.
EKORAN
urusan tanah yang diluluskan kepada mereka telah diselewengkan oleh
seorang Pemaju Mukim DUN Sukau, Abdullah Japar, maka 400 orang pemilik
tanah di Sungei Koyah A Fasa I, II dan III di bawah Skim Pekebun Kecil
di Kinabatangan menuntut hak ke atas pemilikan tersebut kerana sehingga
ke hari ini mereka masih belum memperoleh geran hak milik mereka.
Dalam satu sidang
akhbar di sini, baru-baru ini, pemilik tanah termasuk pewarisnya sebulat
suara mahu hak pemilikan terhadap tanah yang berkeluasan 6,000 ekar itu
dikembalikan kepada mereka; jika gagal, mereka akan merujuk kepada
suruhanjaya bebas bagi menyiasat kes tuntutan mereka.
Ini
kerana, masalah tuntutan tanah ini telah berlarutan terlalu lama
seolah-olah pihak kerajaan tidak mengambil sebarang keputusan, tetapi
menyarankan penyelesaian yang bukan satu bentuk penyelesaian seperti
tuntutan para pekebun kecil Koyah A.
"Harapan
para ahli ialah kembalikan hak mereka sebagai pemilik tanah berkenaan
dan bukan mengalihkan tumpuan kepada soal lain. Ini soal hak rakyat dan
mereka yang ada di sini, bukanlah di kalangan berpendapatan tinggi;
tetapi apa yang penting hak mereka sebagai pemilik tanah dikembalikan
secepat mungkin," kata Penasihat Undang-Undang, Aisah Ahmad yang
dilantik bagi mengendalikan kes tersebut.
Beliau
mendakwa, berlaku penipuan mengenai pemilikan tanah tersebut tetapi
Jabatan Tanah dan Ukur enggan membantu pekebun kecil yang tertipu dan
menyebelahi pihak yang berkepentingan; malah membenarkan penggunaan
surat kuasa palsu.
Beliau
berharap pihak yang terlibat dalam penipuan ini mendapat hukuman
setimpal di sisi undang-undang sedia ada demi keadilan dan kepentingan
semua pekebun kecil terlibat.
"Pemilikan
tanah ini mesti dipertahankan dan tidak ada unsur-unsur politik dalam
perkara ini. Saya bekerja di Semenanjung Malaysia tetapi sebagai anak
watan Sabah, saya terpanggil untuk menyelesaikan masalah ini kerana ia
melibatkan hak asasi rakyat," tegasnya.
BUKTI…. Aisah menunjukkan beberapa dokumen yang berkaitan penjualan tanah. Gambar sisipan, Abdullah Jaafar.
Dalam
pada itu, Aisah memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah meluluskan
permohonan tanah bagi 400 pemilik yang mana secara purata minimum
seorang pemilik mendapat keluasan tanah 15 ekar dan maksimum 17 ekar.
Menurutnya,
geran-geran telah dikeluarkan pada tahun 1998 tetapi Jabatan Tanah dan
Ukur, Kinabatangan tidak memaklumkan pemilik mengikut SOP dan peraturan
yang sedia ada.
Tambahnya,
sehinggalah pada tahun 1999 pihak-pihak tertentu (bukan Jabatan Tanah)
telah memaklumkan kepada hampir semua pemilik untuk berkumpul bagi
menerima wang berjumlah RM1,500 dengan memberi pelbagai alasan tujuan
penerimaan wang tersebut.
"Pada
masa itu, sebahagian pemilik-pemilik yang hadir diminta menandatangani
kertas kosong dan kertas yang telah siap bertaip dengan isi kandungan
yang tidak difahami kerana ayat-ayat adalah dalam Bahasa Inggeris.
"Pemilik-pemilik
tidak diberi penerangan oleh pihak terbabit yang ada pada ketika itu
dan tidak diberi ruang untuk bertanya, malah meminta pemilik-pemilik
jangan banyak bertanya memandangkan ramai lagi pemilik lain yang
menunggu giliran," katanya.
Dalam
itu Tetuan Aisah Ahmad and Company yang dilantik oleh 400 orang pemilik
tanah tersebut mendesak supaya polis dan SPRM yang sudah menerima
laporan rasmi mengenai kes penipunan berkenaan bertindak segera.
Kata
Aisah, penjualan tanah-tanah tersebut yang didalangi oleh Abdullah
Japar dan kuncu-kuncunya melalui modus operandi surat kuasa (Power of
Attorney) palsu kepada pihak tertentu, terutama syarikat yang tersenarai
di Bursa Malaysia adalah perbuatan jenayah komersil yang perlu
ditangani segera bagi menjamin keadilan terlaksana.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan