HALAMAN SANTAI

Ahad, 14 Oktober 2012

PBS Liawan bidas kenyataan Nazri

KENINGAU: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Liawan pada mesyuarat agung parti itu membidas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mengatakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tidak membimbangkan dan menggugat keadaan keselamatan di Sabah.

Ketua Bahagiannya Datuk Jake Jikulin Nointin berkata, kenyataan Nazri itu sebenar telah merunsingkan dan membimbangkan rakyat Sabah khususnya di kawasan pedalaman.

Katanya, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang bertugas di ibu kota atau di peringkat Persekutuan yang bukan berasal dari Sabah sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa.

“Tolonglah elakkan membuat kenyataan yang boleh digunakan oleh pembangkang sebagai isu politik untuk melemahkan semangat penyokong Barisan Nasional (BN) di Sabah,” katanya semasa menyampaikan ucap utama pada majlis perasmian gabungan PBS Liawan dan PBS Bingkor di Dewan Masyarakat di sini .

Perasmian mesyuarat agung gabungan dua bahagian itu disempurnakan oleh Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.

“Seperti kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Nazri berkaitan PATI di Sabah, saya rasa itu tidak sesuai ataupun sekurang-kurangnya beliau seharusnya merujuk kepada pemimpin-pemimpin di Sabah sebelum mengeluarkan kenyataan terutamanya masalah PATI,” jelas Jake.

Katanya, kenyataan Nazri berkaitan PATI di Sabah tidak membimbangkan adalah tidak betul.

PBS Bahagian itu juga mempersoalkan kenyataan Pengarah Tanah dan Ukur yang mengatakan ‘tanah adat’ (NCR) tidak ada lagi NCR selepas tahun 30an.

“Kalaulah kenyataan itu mengikut undang-undang, kami mohon campur tangan Kerajaan Negeri Sabah supaya undang- undang itu dipindahkan atau di ubahsuai supaya hak-hak Anak Negeri yang berkaitan dengan NCR akan berterusan. Dan kami juga mohon kalau kenyataan seperti ini yang melibatkan kepentingan rakyat jelata terutama Anak Negeri, mungkin lebih sesuai kalau Kerajaan Negeri yang membuat kenyataan dan bukannya Pegawai Kerajaan,” kata Jake.

Ini katanya, kerana ia menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat jelata terutama penduduk di kawasan Pedalaman.

Jake dalam ucapannya turut menekankan bahawa PBS Liawan memberi sokongan kepada Pairin kekal sebagai calon Ahli Parlimen Keningau pada PRU 13 akan datang.

PBS Bahagian ini juga katanya, akan mempastikan kemenangan Presiden PBS itu dengan majoriti yang besar pada PRU 13.

Dalam masa yang sama katanya, PBS Liawan juga akan menyokong dan memastikan siapa juga calon BN di kawasan ini pada RRU 13 nanti.

Walau bagaimanapun katanya, calon yang dipilih itu mestilah calon yang boleh menang dan disukai oleh rakyat.

Jake turut mengajak rakyat di kawasan ini agar terus memberikan sokongan kepada BN bagi mengekalkan BN terus memerintah selepas PRU 13 bagi membolehkan kelangsungan program pembangunan untuk rakyat yang telah dirancang di kawasan ini.

“Sokongan berterusan rakyat kepada BN amat penting agar BN terus memerintah di negeri ini dan negara keseluruhannya,” katanya.

Pada mesyuarat agung itu Pairin menerima kemasukan lebih 400 ahli baru PBS dari cawangan-cawangan PBS Bahagian Liawan dan Bingkor.

Hadir sama Timbalan Pre- siden PBS Alimudin Kaidar, Naib Presiden PBS Datuk Radin Malleh, Setiausaha Agung PBS, Henryanus Amin, Ketua Wanita PBS, Datuk Jamilah Sulaiman, Penolong Setiausaha Agung PBS, Datuk Daniel Kinsik, Ketua Bahagian PBS DUN Bingkor, Peter Jino Aliun dan barisan kepimpinan AMT PBS pusat yang hadir serta barisan kepimpinan PBS Bahagian Liawan dan Bingkor.-New Sabah Times-

Tiada ulasan: