HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 Oktober 2012

NGO gesa Taman Rekreasi Bandukan dipulihkan

KENINGAU: Sebuah NGO di sini menggesa pihak berkenaan supaya memulihkan keadaan Taman Rekreasi Bandukan Bingkor, Keningau yang kini kelihatan seperti tidak dijaga dan terbiar.

Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha-Pengusaha Pelancongan Pedalaman Atas Sabah (PPPPPAS), Julian Lian, berkata keadaan persekitaran taman berkenaan kelihatan sangat terbiar meskipun terdapat ramai pengunjung dari serata tempat datang berkunjung ke tempat itu.

“Sistem penjagaan pokok-pokok bunga, kebersihan alam sekitar serta kemudahan-kemudahan seperti pondok, jalan raya dan juga tandas awam yang berdekatan dengan gerai makan tidak menyenangkan bagi mata memandang,” jelas beliau.

Julian menegaskan bahawa adalah perlu bagi pusat taman rekreasi tersebut mengekalkan keindahan alam semulajadi yang sedia ada disamping memastikan kawasan tersebut selamat untuk dikunjungi oleh orang ramai.

Penjaga taman rekreasi berkenaan, Bainding Imbi, memberitahu bahawa masalah itu sudah diketengahkan kepada pihak yang berkenaan tetapi hingga kini masih belum mendapat sebarang tindakan dalam membaik-pulih taman rekreasi tersebut.

Sementara itu, Naib Pengerusi PPPPPAS, Sherry Anne Saikeh dalam kunjungan tersebut juga berkata, PPPPPAS menjalankan banyak program untuk memelihara, memulihara dan mempromosi serta memajukan tapak-tapak pelancongan yang terdapat di seluruh daerah pedalaman atas sabah.

Sehubungan dengan itu beliau berkata, PPPPPAS mengambil serius semua pendapat dan aduan pengusaha-pengusaha pelancongan, orang ramai serta pencinta alam.

“Kerana itu kami secara agresif memberi tumpuan dalam usaha menaik tarafkan destinasi-destinasi pelancongan yang sedia ada dengan satu tekad dan harapan agar usaha ini mendapat sokongan penuh dari semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, NGO dan juga orang ramai.

“Kita tahu perasaan pengunjung terutama sekali pencinta alam apabila melihat pusat pelancongan seperti ini yang dibanjiri begitu ramai pengunjung pada saban hari dengan keadaan pembangunan tidak terancang dan program pemuliharaan yang tidak nampak di mata memang sesuatu yang tidak menyenangkan.

“Mungkin ini adalah laluan berperingkat pertama persatuan ini di daerah pedalaman ini dan kami berharap pengusaha-pengusaha pelancongan mengambil inisiatif memperkenalkan produk pelancongan itu untuk menjana pendapatan, meningkatkan ekonomi serta menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negeri,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Sherry turut mengalu-alukan supaya semua pengusaha-pengusaha pelancongan mengambil peluang untuk mendaftar sebagai ahli dalam Persatuan Pengusaha-Pengusaha Pelancongan Pedalaman Atas Sabah dalam usaha mempromosikan serta memajukan produk-produk pelancongan mereka.

Tiada ulasan: