HALAMAN SANTAI

Sabtu, 13 Oktober 2012

Terbantut akal bila baca Utusan

 
Berbeza ketika zaman kanak-kanak saya adalah pembaca setia Utusan, kata Husam Musa.

 

PETALING JAYA: Exco kanan kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa mengakui bahawa sejak tujuh lapan tahun kebelakangan ini, setiap kali beliau menatap akhbar Utusan Malaysia beliau seperti terbantut akal, tidak mampu berfikir dan terasa diri diperbodohkan.

“Berbeza ketika zaman kanak-kanak saya adalah pembaca setia Utusan. Di Kelantan, akhbar milik Umno itu sampai di sebelah petang,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Salor dalam suratnya kepada Ketua Pengarang, Utusan Malaysia.

Malang kata beliau, bagi sebuah institusi media yang disegani, dibina oleh pelopor dan pejuang awal, akhirnya tertiarap di kamar Mahkamah atas satu isu demi satu isu yang lain.

“Hampir saban minggu Utusan didakwa atas pelbagai saman malu, fitnah dan berita bohong.

Terakhir, pengakuan Chamil Wariya, Utusan telah mengubah cerpen gubahan Chamil. Serendah itu, Utusan menjatuhkan dirinya?,” keluh beliau.

Menurut Husam, penjelasan beberapa paderi atas laporan Utusan yang membarakan api permusuhan agama, menjadikan Utusan kelihatan seperti mesin propaganda murahan yang rendah mutu dan kehilangan kompas akhlak.

Katanya, pendedahan kian tersebar bahawa (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak menemui bilionaire George Soros secara diam -diam di Amerika Syarikat sewaktu Utusan menghayun serangan bertubi-tubi terhadap pelbagai pihak sebagai agen Soros.

“Belum lama laporan muka depan Utusan ‘Lagi Kaitan Soros’. Kenapa Utusan tidak sanggup memasukkan laporan pertemuan itu di muka depan? Najisnya Soros pada mata Utusan seharusnya tidak membedakan sesiapa.

“Bertemu, bersua muka dan ‘secara sulit beragenda’ dengan Soros, tanpa dimaklumkan kepada rakyat jelata, menjadi sebesar-besar tanda tanya: dalam poket Soroskah pemimpin kita?,” tanya beliau.

Husam juga menyoal, “apakah yang dibincangkan? Apa pentingnya PM yang baru memegang jawatan menemui ‘Penyangak Yahudi’ (seperti logik di ketengahkan Utusan) seperti Soros?

“Tidak dapat tidak kita memerlukan pendekatan rasional dan manipulasi keterlaluan akhirnya hanya menjerat leher pemasang jerat itu sendiri.

“Lebih menghibakan, sekali sekala terkilas laporan muka depan Utusan berunsur seks (yang dipolitikkan) yang sangat keterlaluan.

Sampai kesannya kepada generasi muda dan anak-anak kecil parahnya tidak dapat lagi dijangkau,” ujar beliau dalam surat itu.

Tiada ulasan: