Oleh: WFAUZDIN NS
LEPAS satu, satu hal yang ditimbulkan oleh Us Nasha semenjak beliau
tidak lagi memegang jawatan Timbalan Presiden PAS. Perbalahan hebat di
antara beliau dengan Karpal Singh juga bermula selepas beliau tidak
memegang jawatan tersebut, sedangkan beliau bukan tidak tahu pendirian
DAP selama ini di dalam beberapa isu berkaitan hukum Islam.
Sewaktu Us Nasha memegang jawatan Timbalan Presiden PAS untuk beberapa
tahun, adakah beliau merasakan waktu itu DAP berbeza dari DAP sekarang?
Mengapa waktu itu beliau tidak berkokok seperti sekarang? Hilang
sahaja jawatan, beliau sudah tidak tentu hala pendiriannya, asyik
menuding jari ke hulu ke hilir, sekejap tuding kepada DS Anwar, sekejap
lagi kepada Karpal Singh. Dan, yang terbaru beliau mendakwa ada
golongan (dimaksudkan DAP Sarawak) yang berdoa agar negara ini menjadi
sebuah negara Kristian. Baca kenyataan beliau seperti yang dipetik di
dalam Malaysiakini;
"Saya nak menyebut, dan saya sebut ini untuk mengajak suara ummah
menjadi satu, berdepan strategi yang dirancang oleh musuh Allah khasnya
di Malaysia ini. "Selepas pilihan raya di Sarawak baru-baru ini, untuk
meraikan kemenangan, parti DAP contohnya, di Sarawak, telah ada satu
perhimpunan yang diadakan di satu tempat sebagai majlis kesyukuran.
"Dan dalam majlis kesyukuran itu antara perkara yang disebut dan didoakan adalah doa supaya Malaysia menjadi negara Kristian. Kerana kemenangan yang besar sudah ada doa supaya Malaysia jadi negara Kristian," katanya (Malaysiakini).
Jika beliau ada bukti yang kukuh, mengapa sekarang beliau timbulkan
sedangkan Pilihanraya Sarawak sudah berlalu lama? Dan, mengapa beliau
tidak mengemukakan bukti kukuh itu paling tidaknya kepada Majlis Syura
di dalam PAS agar PAS boleh melakukan penyiasatan dan mengambil apa jua
tindakan yang perlu? Tidakkah tindakan melalui parti lebih berkesan
daripada beliau berkokok seorang diri di khalayak ramai? Apa motif
beliau? Untuk dilihat menjadi hero lebih hero daripada Presiden JATI?
Mungkin beliau tidak mahu mengemukakan bukti beliau itu kepada parti
kerana sudah tidak yakin lagi dengan parti yang beliau dokong sekarang.
Jika benar begitu, tunggu apa lagi? Us Nasha boleh keluar dari parti
dan bawa segala bukti yang beliau ada itu kepada Umno atau JATI,
kemudian kita lihat apa yang kedua-dua sekutu itu boleh buat dengan
aduan Us Nasha.
Samada perbuatan mendoakan negara ini menjadi sebuah negara Kristian itu
merupakan satu kesalahan atau tidak, itu kita tidak tahu. Tetapi,
sebagai umat Islam mengapa kita takut sangat dengan doa orang-orang
bukan Islam? Us Nasha yakinkah dengan doa-doa mereka dari doa-doa orang
Islam? Mengapa kita tidak perbanyakkan doa kepada Allah untuk
selamatkan negara ini dari ancaman musuh-musuh Islam? Musuh-musuh Islam
bukan hanya sebilangan dari orang-orang bukan Islam sahaja, tetapi
terdapat juga musuh-musuh Islam di kalangan orang-orang Islam itu
sendiri.
Soal umat Islam kena bersatu padu ini bukan baru dilaungkan. PAS tidak
pernah lekang mulut mengajak umat-umat Islam bersatu atas dasar Islam,
begitu juga Umno. Bezanya Umno mahu bersatu atas dasar Melayu, tambah
pelik lagi bersatu yang difahami oleh Umno adalah penyatuan Umno-PAS
sahaja. PKR tidak perlu diajak bersatu kerana bagi Umno mungkin PKR ini
tidak ada langsung orang-orang Melayu dan Islam di dalamnya. Di sini
jelas dapat dilihat siapa sebenarnya yang tidak mahu bersatu, dan pihak
ini lah yang sepatutnya Us Nasha dakwahkan.
Jika benar Us Nasha ikhlas untuk membela Islam, beliau harus bertindak
dengan lebih bijak. Selaku Ahli Majlis Syura dan ahli PAS, beliau harus
mendahulukan partinya terlebih dahulu untuk menyuarakan sesuatu yang
dianggap sensitif, bukannya berkokok di dalam media melainkan beliau
sudah tidak yakin lagi dengan kewibawaan PAS. Jika begitu, Us Nasha
mahu tunggu apa lagi? Mahu tunggu dipecat? /wfauzdin.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan